ISKANDAR PUTERI, 11 Dis – UMNO Gelang Patah percaya sokongan masyarakat setempat di kerusi Parlimen itu kini sudah pun beralih kepada Barisan Nasional (BN) berikutan ramai yang menyedari bahawa wakil rakyat mereka tidak mampu memberikan perkhidmatan terbaik.
Ketua Bahagian UMNO Gelang Patah Mohamad Khairi Malek berkata, sejak Lim Kit Siang memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 lepas, wakil rakyat itu dilihat jarang sekali turun padang bertemu rakyat, apatah lagi membantu menyelesaikan isu dan permasalahan rakyat.
“Kita dapat rasakan pengundi, sama ada masyarakat Cina atau pun Melayu di sini sudah sedar dengan sikap pembangkang. Setiap kali berlaku masalah, mereka akan mencari wakil BN dahulu dan bukan parti satu lagi (pembangkang). Kita pula tidak kisah membantu, tidak kiralah UMNO mahupun parti komponennya MCA dan Gerakan.
“Sejak mengalami kekalahan pada PRU lepas, BN telah bekerja keras di kerusi ini kerana bagi kami, ia sama-sama penting seperti kerusi lain dan tidak boleh lagi jatuh ke tangan pembangkang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Pada PRU lepas, Penasihat DAP itu menewaskan bekas menteri besar Johor Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi.
Justeru, Mohamad Khairi berkata, untuk mengembalikan keyakinan dan sokongan serta mendekatkan diri dengan rakyat secara berterusan, UMNO bersama parti komponen BN lain sejak kekalahan itu juga tidak putus-putus menggerakkan pelbagai program untuk memanfaatkan golongan yang berada di akar umbi.
Program itu antaranya mengadakan ceramah kepada masyarakat Cina bagi menerangkan dasar-dasar kerajaan dengan lebih jelas agar dapat memerangi dakyah politik pembangkang.
“Satu contoh terbaik kita ialah menerangkan kepada mereka mengapa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) harus dilaksanakan. Kita gunakan kaedah yang mudah untuk memahamkan mereka. Jika tidak, mereka akan terus hanyut dengan politik pembangkang dan menyalahkan kepimpinan perdana menteri kerana keadaan ini berlaku,” katanya.
Beliau berkata bagi masyarakat bumiputera pula, UMNO secara aktif telah melaksanakan program Gerak Gempur Usahawan sejak tahun lalu.
Menerusi program ini, UMNO akan memberi bantuan peralatan perniagaan berjumlah maksimum RM500 kepada peniaga kecil-kecilan sebagai memudahkan urusan harian perniagaan mereka.
“Bantuan mungkin nampak kecil nilainya tetapi bermakna kepada mereka kerana ada segelintirnya tidak berupaya membeli peralatan ini berikutan hasil jualan yang tidak setinggi mana. Lagipun, mereka susah untuk mendapatkan pinjaman atau modal perniagaan daripada agensi kerajaan memandangkan perniagaan dijalankan berskala kecil,” jelasnya.
Mohamad Khairi berkata dengan peruntukan sebanyak RM100,000 tahun lepas, seramai 200 peniaga telah memperoleh manfaat daripada program itu dan berikutan kejayaannya, UMNO Gelang Patah tahun ini memperuntukkan RM80,000 bagi menjayakan program sama, yang berjaya memanfaatkan seramai 160 peniaga.
Selain program itu, pihaknya juga aktif menyelesaikan isu geran tanah dalam kalangan penduduk Kampung Gelang Patah, Pendas Laut dan Kampung Pinggiran melalui pemberian Notis 5A.
Pemberian notis ini, katanya, penting kerana ramai daripada penduduk menunggu sejak sekian lama untuk mendapatkan hak pemilikan tanah namun untuk memperolehnya, penduduk harus mengikuti beberapa prosedur.
Antaranya mengemukakan dokumen berkaitan selain memastikan tiada berlakunya pertindihan permohonan dalam kalangan anggota keluarga yang menuntut.
“Setakat ini, 23 penduduk dari Kampung Gelang Patah, 64 orang (Kampung Pendas Laut) dan 24 orang (Kampung Pinggiran) telah mendapat hak milik mereka.
“Pemberian ini bukannya gula-gula untuk PRU tetapi hampir setiap tahun dijayakan demi memastikan penduduk berupaya membina rumah di atas tanah sendiri,” jelasnya. – MalaysiaGazette