Mereka yang dikenal pasti sebagai Ali@ Cherlie M Yussof, 62; Jamhari Bujang, 54; Wilfred Balang Singa, 38; dan Amri Ahmad Astor, 33; meninggalkan Pohon Batu Labuan sekitar 4.10 petang pada Sabtu.
Bagaimanapun, bot mereka mengalami masalah teknikal sekitar 10.30 malam selepas dipukul ombak besar dalam keadaan hujan lebat menyebabkan mereka hanyut ke Pulau Tiga.
Selepas gagal membaiki enjin bot, mereka menghubungi keluarga masing-masing yang kemudian memaklumkan kepada APMM pada 10 pagi Ahad.
Timbalan Pengarah APMM Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata usaha mencari dan menyelamat bermula pada tengah hari Ahad selepas mereka menerima laporan daripada anggota keluarga pemancing terbabit.
Beliau berkata APMM berjaya mengesan lelaki terbabit enam jam kemudian.
Sementara itu, sebaik tiba di Jeti Maritim Labuan pada 12.10 tengah malam tadi, Jamhari digegaskan ke Labuan Nucleus Hospital selepas mengalami tekanan darah tinggi.
Ali yang bercakap bagi pihak pemancing terbabit berkata sebelum belayar mereka telah memeriksa enjin bot itu yang didapati dalam keadaan baik.
“Kejadian ini di luar jangka dan kami bersyukur serta berterima kasih kepada agensi (APMM),” katanya.
— BERNAMA