Home Nasional Pengerusi JKPSB sahkan SPRM ambil dokumen

Pengerusi JKPSB sahkan SPRM ambil dokumen

Zainal Abidin Osman

GEORGE TOWN – JKP Sdn Bhd (JKPSB), sebuah agensi kerajaan Persekutuan, mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil beberapa dokumen bagi membantu siasatan berkaitan isu kepentingan dan pengurusan kewangan agensi itu.

Pengerusinya Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang mengesahkan perkara itu berkata pihaknya mengamalkan sikap terbuka sekiranya ada pihak yang membuat laporan kepada SPRM dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan itu.

Menurutnya pegawai SPRM hadir ke pejabat JKPSB ketika Perhimpunan Agung UMNO sedang berlangsung di Kuala Lumpur minggu lepas ketika desas-desus berhubung “lawatan “SPRM” itu dilaporkan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kunci Pangsapuri Bayu Tiara di sini hari ini, ketika ditanya berhubung dakwaan terdapat aduan dibuat kepada SPRM terhadap Ketua Pegawai Eksekutif JKPSB Samrulzaman K. Mohideen berhubung perkara itu.

Zainal Abidin yang juga pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang berkata setakat ini SPRM mengambil beberapa maklumat dan dokumen berkaitan.

“Biar SPRM jalankan siasatan dan sebagai pengerusi JKPSB saya ingin menyatakan bahawa kami akan bagi kerjasama sepenuhnya dan kami akan arahkan kakitangan kami untuk memberi sepenuh kerjasama, memberi semua dokumen yang diperlukan SPRM.

“Jangan buat apa-apa kesimpulan, jangan buat andaian, sama ada terdapat kes atau tidak terpulang pada siasatan SPRM, ” katanya yang menambah setakat ini belum ada sesiapa yang dipanggil memberi keterangan.

Zainal Abidin berkata mesyuarat Lembaga Pengarah JKP sebelum ini juga telah membuat keputusan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman dan jawatankuasa itu sudahpun menyiapkan laporannya dan akan dibentangkan pada mesyuarat khas Lembaga Pengarah esok.

“Salinan laporan siasatan itu akan dikemukakan kepada pihak SPRM dan mengikut tatacara pengurusan di bawah agensi kerajaan, apabila diadakan siasatan, kami minta pihak yang disiasat itu supaya bercuti,” katanya.

— BERNAMA