Home Sukan Borussia Dortmund pecat Peter Bosz

Borussia Dortmund pecat Peter Bosz

Peter Bosz dipecat selepas prestasi hambar sepanjang musim ini.

DORTMUND – Borussia Dortmund memecat Peter Bosz sebagai Ketua Jurulatih selepas kelab itu gagal mencatat kemenangan dalam 12 perlawanan berturut-turut musim ini.

Tanpa membuang masa, pengurusan kelab itu telah melantik Peter Stöger sebagai pengurus baharu sehingga penghujung musim ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Pegawai Eksekutifnya Hands-Joachim Watzke berkata, dalam satu perbualan bersama Peter Bosz, pihaknya membuat keputusan untuk menamatkan kontrak dengannya berkuatkuasa serta merta.

“Ia satu keputusan yang sangat beremosi yang terpaksa diambil kelab ini tetapi dengan cara terhormat.

“Kelab ini mewakili semua penyokong Borussia Dortmund menghargai segala sumbangan yang diberikan Bosz selama ini.

Bosz mengambil alih kelab berkenaan pada awal musim ini tetapi menerima tekanan setelah gagal mencatatkan kemenangan dalam setiap perlawanan.

Kekalahan terbaharu 2-1 kepada Werder Bremen pada Sabtu lepas menyaksikan Dortmund menduduki tempat ketujuh dalam carta Bundesliga Jerman.

Nasib kelab itu bertambah buruk setelah gagal mencatat kemenangan peringkat kumpulan H Liga Juara-juara Eropah, sekali gus menamatkan saingan di tempat ketiga belakang Tottenham Hotspurs dan Real Madrid.

Kelab itu mengumumkan bekas pengurus Cologne, Peter Stöger sebagai pengganti sehingga akhir musim ini.

“Saya gembira diberi mandat mengendalikan pasukan utama Borussia dan stadium ini,” katanya.

Stöger hanya dipecat Disember ini oleh Cologne selepas empat tahun menerajui kelab itu dan menghuni tangga kelima.

Walaupun Stöger hanya mampu meraih dua mata daripada 13 perlawanan bersama kelab lamanya, dia diyakini mampu memberi impak yang diharapkan kelab.

“Dalam tempoh empat tahun ini, Stöger berjaya membangunkan pasukan dengan cemerlang di Cologne,” kata Pengarah Sukan Dortmund, Michael Zorc. – MalaysiaGazette

+ posts