Home Nasional Baitulmaqdis: OIC perlu satu resolusi kutuk tindakan Amerika Syarikat

Baitulmaqdis: OIC perlu satu resolusi kutuk tindakan Amerika Syarikat

Presiden Majlis Profesor Negara, Datuk Raduan Che Rose (tengah) hadir bersama AJK Kluster Politik Majlis Profesor Negara, Kamarulnizam Abdullah (kiri) dan Ahli Bersekutu Majlis Profesor Negara, Aminurraasyid Yatiban (kanan) pada sidang media mengenai isu pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel di Balai Ilmuwan Majlis Professor Negara, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 13 DISEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Majlis Profesor Negara (MPN) hari ini mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) membuat satu resolusi khas bagi mengutuk tindakan sendirian Amerika Syarikat yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara rejim Israel yang baharu.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Majlis Profesor Negara (MPN) Prof. Datuk Dr. Riduan Che Rose, mesyuarat khas yang diadakan di Istanbul, Turki hari ini perlu berbuat demikian kerana ia melibatkan isu keamanan dan tanah suci umat Islam seluruh dunia.

Ia dipengerusikan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan atas kapasiti selaku Pengerusi sidang kemuncak berkenaan.

“Kita sangat berharap supaya Mesyuarat Khas OIC yang diadakan hari ini dapat buat satu cadangan penyelesaian bagi tujuan penyelesaian kedamaian dunia.

“Malah kami turut berharap agar OIC dapat beri cadangan supaya tindakan bersendirian Amerika Syarikat ini tidak menjejaskan kepentingan kepada pihak terlibat,” katanya dalam sidang media di pejabat MPN di Putrajaya hari ini.

Tambahnya, tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang bertindak memindahkan kedutaan Isreal di Tel Aviv ke Baitulmaqdis juga dianggap sangat provokatif dan memberi kesan negatif kepada dunia.

“Kita merasakan bahawa isu ini perlu diselesaikan di antara kedua-dua negara, yang melibatkan kepentingan dunia pihak.

“Kita nyatakan kekesalan dan harap dunia dapat memberi penyelesaian segera dan Amerika Syarikat mendengar apa yang akan diputuskan oleh OIC nanti,” katanya lagi.

AJK Kluster Politik Majlis Profesor Negara, Kamarulnizam Abdullah bercakap pada sidang media mengenai isu pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel di Balai Ilmuwan Majlis Professor Negara, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 13 DISEMBER 2017

Mengulas lanjut, Ahli Jawatankuasa Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Dr. Kamarulnizam Abdullah berkata, resolusi ini diharap akan membawa suara masyarakat antarabangsa yang secara langsung mengutuk tindakan Trump.

“OIC harus gubal satu resolusi khas bagi mendapatkan satu suara yang melambangkan apa yang hendak dan difikirkan oleh rakyat antarabangsa.

“Ini kerana PPB tidak menggambarkan suara antarabangsa kerana dimanipulasi oleh Amerika Syarikat.

“OIC kena lebih aktif menyatakan isu ini di peringkat antarabangsa dan mengaitkan isu ini bagi membuka mata dunia,” kata beliau yang juga pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM).

OIC hari ini mengadakan Sidang Kemuncak Luar Biasa di Istanbul yang sertai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ia bagi mengkaji semula perkembangan serta membincangkan kedua berikutan pengumuman Trump untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Ahli Bersekutu Majlis Profesor Negara, Aminurraasyid Yatiban bercakap pada sidang media mengenai isu pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel di Balai Ilmuwan Majlis Professor Negara, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 13 DISEMBER 2017

Menurut Ahli Bersekutu MPN, Dr. Amirurraasyid Tayiban, langkah Malaysia yang menolak sekeras-kerasnya cadangan itu menunjukkan Najib tidak akan berkompromi dalam apa juga isu yang membabitkan penghinaan ke atas kesucian Islam.

“Saya rasa wajar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib diberikan pujian untuk menjadi suara yang komited tentang kebebasan Palestin.

“Ini perlu diangkat dan terus diperjuangkan sebab kita komited atas nama keadilan dan juga komited Malaysia keatas isu apartheid di Afrika Selatan. Wajar kita bersama suara yang tegas untuk mempertahankan hak Palestin,” katanya.

Malah katanya, tidak mustahil untuk Turki memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel memandangkan Edrogan adalah individu yang paling lantang dalam menyuarakan penolakan terhadap cadangan Trump selama ini.

“Turki ada hubungan diplomatik dengan Israel, mungkin dalam sidang tergempar hari ini, Turki sedia kaji hubungan diplomatik dengan Israel dan mungkin jadi satu langkah baru buat OIC,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.