KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli meningkat sebanyak 14,931 tan metrik (28.5%) kepada 67,403 tan metrik pada Oktober 2017 berbanding bulan sebelumnya.
Perbandingan tahun ke tahun juga menunjukkan peningkatan iaitu 8.3 peratus berbanding Oktober 2016.
Penyumbang utama pengeluaran getah asli adalah dari sektor kebun kecil iaitu melebihi 90 peratus.
Jabatan Perangkaan berkata, harga purata bulanan Lateks Pekat dan Getah Mutu Malaysia 20 pada Oktober 2017 adalah 489.36 sen sekilogram dan 601.21 sen sekilogram, masing-masing berkurang sebanyak 11.4 peratus dan 9.0 peratus daripada September 2017.
Eksport getah asli pada Oktober 2017 naik sebanyak 2,018 tan metrik (4.5%) kepada 47,162 tan metrik berbanding September 2017.
Lima destinasi utama eksport getah asli adalah China, Jerman, Amerika Syarikat, Iran dan Republik Korea.
Penggunaan domestik getah asli pada Oktober 2017 adalah sebanyak 42,753 tan metrik, bertambah 2,092 tan metrik (5.2%) berbanding bulan sebelumnya.
Industri sarung tangan getah merupakan industri terbesar menggunakan getah asli iaitu 31,041 tan metrik (72.9%).
Pada akhir Oktober 2017, paras stok getah asli meningkat sebanyak 12,564 tan metrik (6.5%) kepada 206,593 tan metrik. – MalaysiaGazette