Home Nasional Kes Susu Enfalac kena tunggu laporan kimia

Kes Susu Enfalac kena tunggu laporan kimia

Reaksi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika bercakap pada sidang media pengumuman harga maksimum bagi 16 jenis barangan hraga terkawal sempena sambutan Perayaan Krismas 2017 di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 DISEMBER 2017

PUTRAJAYA – Sebarang tindakan termasuk menarik balik semula produk susu Enfalac A+ Step 1 (1.8kg) bergantung kepada hasil laporan kimia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya masih menunggu keputusan terhadap susu formula rumusan bayi itu sebelum memikirkan sebarang tindakan lanjut.

“Selepas laporan diterima oleh mangsa pada 14 Oktober lalu, kita lakukan serbuan selepas sebulan setengah sebab kena mengkaji syarikat yang diserbu dengan kepastian mengikut peraturan supaya tidak gagal.

“Kita sedang menunggu keputusan laporan Jabatan Kimia untuk mengetahui keputusan hasil kandungan susu tiruan itu selepas ia berjaya dirampas di Johor pada Khamis lalu dan harap berada ditangan kami secepat mungkin,” katanya dalam sidang media pengumuman harga barang terkawal bersempena sambutan Krismas 2017 pada 25 Disember ini di sini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai status laporan kimia produk susu tiruan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah turut mengakui selain di Johor, isu penularan susu tiruan jenama berkaitan juga dikenalpasti dijual di kawasan Lembah Klang.

Beliau juga menjelaskan, terdapat kemungkinan produk susu tiruan itu akan ditarik balik dari pasaran apabial laporan kimia diperoleh nanti.

“Kalau ada dalang dalam jualan susu tiruan itu, sudah pasti kita akan tangkap dia dan memalukannya apabila tiba masanya nanti,” tegasnya.

Dalam hal yang sama, pihaknya juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan yang bertanggungjawab menganalisa dan meluluskan sesebuah produk untuk dijual di pasaran.

Sebelum ini, syarikat pengeluar produk itu, Meadjohnson menerusi kenyataan media memaklumkan kepada pengguna produk itu untuk berhati-hati selain menyediakan kaedah membezakan bungkus susu tulen dan tiruan selain talian Hotline disediakan untuk maklumat lanjut dan memanjangkan aduan.

Hamzah juga berkata, kementeriannya sentiasa mengalu-alukan jika ada pengguna tampil mengadu kepada pihak berkuasa sekiranya terbeli produk susu tiruan itu di mana-mana premis.

Dalam satu lagi perkembangan, beliau juga mengesahkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) akan memulakan operasinya menjelang awal Januari 2018.

Beliau bagaimanapun enggan menyediakan maklumat lanjut mengenai jumlah premis KR1M yang akan dibuka di seluruh negara pada tempoh tersebut. – MalaysiaGazette

Pastikan bungkusan aluminium kembung