PETALING JAYA – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka memulakan operasi secara berperingkat di Pangkalan Udara Sendayan di Negeri Sembilan bermula Januari 2018, kata Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
“Kita akan berpindah secara berperingkat kerana melibatkan pemindahan anggota daripada pangkalan-pangkalan udara yang lain.
Selepas beroperasi, ia dapat meningkatkan keupayaan TUDM selain memberi keselesaan kepada para anggota dengan kelengkapan dan kemudahan di tempat kerja yang lebih baik dan canggih,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM 2017 di Pangkalan Udara TUDM Subang hari ini.
Beliau berharap dengan segala fasiliti baharu yang dimiliki TUDM, anggotanya dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih efektif dan efisyen dalam menjamin keselamatan ruang udara negara.
Pangkalan Udara Sendayan yang dibina di kawasan seluas 303.5 hektar bakal menjadi pusat latihan terbesar untuk pegawai dan anggota TUDM.