Home Utama IMAMS akses tunggal visa umrah atasi pakej penipuan

IMAMS akses tunggal visa umrah atasi pakej penipuan

IMBAS KEMBALI..Mas Ermieyati Samsudin pada sidang akhbar Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mewajibkan penggunaan Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS) mulai hari ini ke atas kesemua 65 agensi pelancongan berstatus muasassah di Malaysia yang memiliki Lesen Khas Umrah sejak 1 Oktober lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sehingga 22 November lalu kementerian telah pun melesenkan sebanyak 234 buah syarikat pengendali umrah.

Ia terdiri daripada 65 syarikat pelancongan berstatus muasassah (LKU) dan 169 syarikat pelancongan bukan berstatus muasassah (sub-LKU).

Pelaksanaan LKU disokong oleh tiga inisiatif tambahan bertujuan menambah baik tadbir urus dan kawal selia industri pengendalian umrah di Malaysia serta menghalang penipuan pakej umrah dari terus berlaku.

Initiatif sokongan tersebut adalah pengenalan Kad Pegawai Pemasaran Umrah bertujuan mewujudkan satu daftar lengkap pegawai pemasaran yang dilantik secara rasmi oleh agensi
pengendalian umrah, sekali gus menangani penipuan oleh
agen-agen pemasaran tidak sah dan palsu.

Ia juga penambahbaikan tatacara pengiklanan pakej umrah agar dapat memantau pelaksanaan kelulusan iklan oleh kementerian dan menghalang penyebaran iklan-iklan yang meragukan, mengelirukan dan memperdaya orang awam.

Selain itu, sistem pengurusan IMAMS dapat menutup ruang-ruang penipuan pakej umrah di sepanjang nilai rantaian pengendalian dan memperkasakan aktiviti pemantauan, penyiasatan dan penguatkuasaan pengendalian pakej umrah yang berada di pasaran secara sistematik dan teratur.

Mas Ermiyati berkata, faktor-faktor utama jemaah menjadi mangsa penipuan pakej umrah kerana penjualan visa umrah yang tidak terkawal kepada agensi pelancongan berlesen lain, individu dan agensi pelancongan tidak berlesen dan manipulasi data perjalanan pakej umrah semasa fasa jualan.

Pelaksanaan sistem IMAMS ini akan mengatasi dan menutup ruang-ruang penipuan di dalam rantaian pelaksanaan pakejUmrah daripada terus berlaku.

Kerajaan Malaysia turut mendapat persetujuan dan sokongan Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur ke atas pelaksanaan Lesen Khas Umrah dan penggunaan Sistem IMAMS ini.

Mulai hari ini, sistem IMAMS adalah satu-satunya akses rasmi kepada permohonan Visa Umrah yang akan diproses oleh Konsul Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia.

Tegas beliau, kegagalan pihak-pihak yang menguruskan jemaah mematuhi arahan ini akan diambil tindakan keras oleh kementerian dan boleh menyebabkan lesen perniagaan mereka dibatalkan.

Tambahnya, sistem IMAMS ini akan melibatkan caj pada kadar RM45 bagi setiap jemaah dan ia adalah kadar paling rendah di dunia berbanding negara-negara lain yang mengguna pakai sistem seumpamanya dalam menguruskan jemaah umrah seperti di Jordan, Mesir dan Sudan.

Kementerian berharap orang awam juga mengambil berat dan berwaspada agar tidak lagi terpedaya dengan iklan-iklan harga lantai pakej umrah berjumlah RM4,900. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.