Home Nasional Thaipusam: MPS diminta laksanakan larangan jualan vuvuzela, topeng muka

Thaipusam: MPS diminta laksanakan larangan jualan vuvuzela, topeng muka

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) digesa supaya memantau dan melarang penjualan barangan yang tiada kaitan dengan sambutan Thaipusam.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa tempatan, polis dan pengurusan kuil Batu Caves disarankan supaya melarang penjualan barangan yang tidak mempunyai kaitan dengan sambutan Thaipusam yang akan disambut pada 9 Februari ini.

Seperti tahun-tahun sebelum ini kuil Batu Caves bakal menjadi tumpuan penganut agama Hindu dan pelancong asing pada hari tersebut.

Bagaimanapun, seperti pada tahun-tahun sebelumnya barangan yang tiada kaitan dengan perayaan seperti topeng muka, vuvuzela dan rambut berarna-warni dijangka dijual di kawasan Batu Caves.

Menyedari perkara yang sama bakal berlaku, Pasukan Bertindak Hal Ehwal Agama Hindu Selangor mahu penjual produk-produk terbabit dikenakan tindakan tegas dan barang-barang itu dirampas.

Pasukan khas yang diletakkan di bawah Exco Selangor, V. Ganabati Rao telah menyerahkan surat berhubung perkara itu kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Menjelang sambutan Thaipusam pada 8, 9 dan 10 Februari ini, topeng muka dan rambut yang agak menakutkan serta vuvuzela yang langsung tidak berkaitan dengan sambutan harus dilarang daripada dijual dan kalau boleh harus dirampas.

“Kita tidak boleh membiarkan penjualan barang-barang ini kerana ia mengganggu penganut agama Hindu yang membawa kavadi, belanga susu untuk membayar nazar di Batu Caves selain menakutkan wanita, warga emas dan kanak-kanak yang berkunjung ke kuil semasa sambutan.

“Saya juga berharap pihak pengurusan kuil agar bekerjasama dengan MPS untuk merampas barangan tidak berkaitan itu,” kata Setiausaha Pasukan Khas itu, Vasanthakumar di sini seperti dlaporkan akhbar Malaysia Nanban hari ini.

Lebih 1.2 juta penganut agama Hindu dan pelancong dijangka berkunjung ke Batu Caves pada perayaan Thaipusam.

“Kita mahu penganut Hindu dan pengunjung ke Thaipusam menikmati suasana meriah dan tenang tanpa gangguan dengan irama lagu-lagu keagamaan berkaitan dewa Murugan.

“Kami tidak mahu suasana itu diganggu dengan tiupan vuvuzela, topeng muka seram dan menakutkan penganut kanak-kanak dan wanita.

“Ia juga salah satu usaha mengelak tanggapan salah terhadap sambutan agama Hindu oleh rakan-rakan masyarakat majmuk di negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette