Home Nasional Bekas Ketua Polis Daerah di Perak bebas dengan jaminan SPRM

Bekas Ketua Polis Daerah di Perak bebas dengan jaminan SPRM

IPOH – Mahkamah Majistret di sini, hari ini membebaskan bekas ketua polis daerah di Perak yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa, dengan jaminan agensi itu.

Turut dibebaskan ialah isteri pegawai polis tersebut dan seorang ahli perniagaan wanita selepas tempoh reman sembilan hari mereka sejak 8 Disember lepas berakhir hari ini.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan membenarkan pegawai polis berpangkat ACP itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM20,000 manakala isterinya dan ahli perniagaan terbabit masing-masing RM15,000 serta RM5,000.

Pegawai polis berumur 59 tahun itu, isterinya yang berusia 54 tahun dan ahli perniagaan berusia 34 tersebut ditahan pada 7 Disember di pejabat SPRM Perak ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (a)(A) ASPRM 2009.

Susulan tangkapan itu, pasukan penyiasat SPRM melakukan penggeledahan di rumah pegawai polis itu di sini dan menemukan wang tunai hampir RM1 juta serta barangan kemas di dalam kotak kasut dan peti besi.

Menurut kenyataan SPRM pada 8 Disember lepas, ahli perniagaan itu disyaki mempunyai kepentingan dengan pegawai polis itu ketika berkhidmat sebagai ketua polis daerah.

Wanita itu juga dipercayai memberikan sejumlah wang untuk majlis perkahwinan anak pegawai berkenaan pada Februari lepas.

“Ahli perniagaan itu telah memasukkan wang sebanyak RM70,000 ke dalam akaun isteri pegawai polis tersebut dengan dua transaksi iaitu RM20,000 dan RM50,000, ” kata kenyataan itu. – Bernama