Home Utama Lebih ramai suspek kes seludup warga Bangladesh akan ditahan

Lebih ramai suspek kes seludup warga Bangladesh akan ditahan

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bercakap kepada media pada Majlis Kejohanan Endurance Tan Sri Khalid Abu Bakar di Pusat Equine, Universiti Putra Malaysia, Serdang. foto AFFAN FAUZI, 16 DISEMBER 2017

SERDANG – Lebih ramai suspek kes penyeludupan warga Bangladesh ke negara ini akan ditahan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim tidak menolak kemungkinan itu apabila mengakui sindiket tersebut beroperasi dalam tiga rangkaian modes operandi untuk memastikan warga Bangladesh terbabit tidak menghadapi masalah untuk memasuki negara ini.

“Hasil risikan kita kenalpasti wujudnya kolaborasi antara sindiket di negara Bangladesh dan di sini.

“Mereka beroperasi dalam tiga golongan iaitu golongan pengumpul warga Bangladesh, golongan pemudah cara yang menguruskan kemasukan mereka ke negara ini dan satu lagi sindiket berperanan sebagai penerima warga asing itu di sini,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Endurance Piala Ketua Polis Negara 2017 di Pusat Equine Universiti Putra Malaysia di sini hari ini di sini

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini kes penyeludupan warga Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila tujuh suspek, empat pegawai imigresen Malaysia dan dua warga asing dan seorang wanita tempatan ditahan setakat ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, seramai 600 orang kakitangan dan pegawai Imigresen yang bertugas di KLIA telah ditukar tempat berkuatkuasa serta- merta.

Ahmad Zahid berkata, tindakan itu diambil selepas kesemua penguatkuasa yang bertugas di kaunter imigresen KLIA disyaki bersubahat dalam sindikit menyeludup masuk warga Bangladesh ke negara ini.

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata, polis telah melancarkan operasi secara menyeluruh untuk menumpaskan keseluruhan rangkaian sindiket melibatkan warga asing itu.

“Mungkin akan ada tangkapan terhadap ahli-ahli sindiket yang masih berada di luar sana selepas ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette