KUALA LUMPUR – DBKL, di mana kelibat anda?
Mungkin itulah persoalan yang berlegar-legar apabila melihat deretan trak penjual pelbagai makanan berbaris berniaga di hadapan bangunan ikonik KLCC, semalam.
Kehadiran trak-trak makanan di sepanjang lorong bas di hadapan KLCC sehingga ke hujung bangunan itu cukup menyemakkan mata.
Bukan satu trak yang berniaga tetapi sepanjang tinjauan MalaysiaGazette dari pukul 3 petang hingga 4 petang semalam terdapat kira-kira 12 hingga 13 trak.
Peniaga-peniaga trak ini telah menggunakan laluan bas di sepanjang jalan di hadapan KLCC.
Para peniaga bukan sahaja berniaga barang-barang yang telah siap dimasak, sebaliknya turut menggoreng di situ.
Berhampiran dengan selekoh KLCC pula, berhampiran dengan lampu isyarat Jalan Ampang keadaan lebih teruk kerana sampah-sarap bersepah di atas jalan raya.
Itulah situasi yang dilihat oleh wartawan MalaysiaGazette di hadapan bangunan yang menjadi mercu dan kebanggaan negara.
Situasi itu sungguh memeranjatkan – seolah-olah sekitar kawasan KLCC itu tidak lagi berada dalam radar pemantauan dan penguatkuasaan DBKL.
Salah seorang peniaga air dan keropok lekor memberitahu, dia biasa berniaga di situ pada hujung minggu.
“Cuma kena cepat, siapa cepat dia dapat tempat,” kata peniaga itu dalam loghat bahasa Indonesia.
Seorang peniaga wanita yang menjual pisang goreng, juga dipercayai warga Indonesia berkata, dia bersama suaminya berniaga di situ jika ada tempat.
“Tempat ini memang jadi rebutan, selalunya kena datang awal baru dapat tempat,” tambah beliau sambil mengakui setakat ini tidak ada penguatkuasa yang ‘mengejar’ mereka.
Kebanyakan mereka menjual makanan ringan seperti air, keropok, pisang goreng, buah-buahan, burger, rojak dan kebab.
MalaysiaGazette bertanyakan tentang kehadiran peniaga-peniaga itu kepada seorang polis bantuan KLCC dan beliau memberitahu, peniaga-peniaga trak memang sentiasa ada, termasuk pada malam hari.
Malah, beliau berkata, disebabkan kehadiran peniaga-peniaga berkenaan, kelancaran lalu lintas KLCC sering terjejas terutama pada hari hujung minggu atau semasa musim perayaan.
“Mereka (peniaga) menggunakan lorong bas, ini pun sudah ganggu bas-bas untuk berhenti. Apabila ini berlaku ia turut menganggu kelancaran kereta-kereta yang keluar dari tempat letak kereta KLCC. Sesak dari bawah sebab peniaga-peniaga ini,” ujarnya.
Ini bermakna, tindakan peniaga-peniaga trak berniaga di hadapan KLCC bukan baru, mungkin wartawan MalaysiaGazette yang baru tahu.
Tapi DBKL tahu tak? – MalaysiaGazette