KUALA LUMPUR – Kegagalan negara dalam menangani penyalahgunaan dadah tidak harus menjadi salah satu tabu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat malah kepimpinan negara ini tidak harus malu dengan kegagalan itu kerana isu penyalahgunaan dadah adalah isu sejagat yang masih belum dapat diselesaikan.
“Kita harus melakukan muhasabah, kenapa kita gagal dalam membasmi penyalahgunaan dadah?
“Kegagalan itu kerana kita letakkan permasalahan itu kepada kerajaan, persatuan menangani dadah dan sebagainya. Tetapi bagaimana penglibatan insititusi keluarga dan masyarakat,” katanya dalam ucaptama merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua Pemadam yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Justeru kata Zahid, kerajaan perlu lebih bijak dalam membanteras penularan dadah dari segi pengeluaran dan pengedaran bahan terlarang itu.
“Kita gagal kerana kita melihat ekor atau belalai gajah tetapi tidak dapat lihat keseluruhan badan gajah itu.
“Pendekatan yang holistik harus dilakukan. Mulai hari ini, selain mengetepikan perbezaan antara kita, kita perlu lakukan tindakan drastik sepenuhnya,” katanya dihadapan lebih 1,000 ahli Pemadam.
Dalam pada itu, Zahid turut mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi memastikan gejala penyalahgunaan dadah dapat dikurangkan.
Daripada jumlah itu, RM5 juta daripada peruntukan itu akan diberi secara tetap kepada Pemadam menerusi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bermula tahun depan.
“Jika kes penyalahgunaan dadah gagal dikurangkan 50 peratus menjelang Disember tahun depan, saya akan tarik balik peruntukan itu daripada NGO-NGO semua,” katanya lagi.
Pada tahun lalu peningkatan penagihan dadah di negara ini melebihi 14 peratus iaitu sebanyak 30,847 berbanding tahun 2015 dengan 28,628 kes. -MalaysiaGazette.