Home Utama klia2 bukan lapangan terbang tambang murah – MAHB

klia2 bukan lapangan terbang tambang murah – MAHB

Laluan Kuala Lumpur - Singapura merupakan laluan udara antarabangsa tersibut dunia bagi tempoh Mac 2017 hingga Februari 2018.
Laluan Kuala Lumpur - Singapura merupakan laluan udara antarabangsa tersibut dunia bagi tempoh Mac 2017 hingga Februari 2018.

KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, klia2 bukan lapangan terbang tambang murah.

Sebaliknya, klia2 merupakan terminal lapangan terbang kedua bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang akan memberi kemudahan berikutan pertumbuhan kapasiti.

Tambahnya, semasa membina klia, MAHB sudah mempertimbangkan dan menampung keperluan semua pemegang kepentingan termasuk syarikat penerbangan, pihak berkuasa kerajaan dan komuniti.

Ini adalah pendekatan yang perlu kerana sistem lapangan terbang merupakan infrastruktur jangka panjang yang mesti memenuhi keperluan industri penerbangan awam semasa dan masa depan negara dan ia tidak memberi kesan terhadap PSC.

Kerajaan telah membuat keputusan menyamakan PSC untuk kedua-dua terminal di KLIA dan semua lapangan terbang lain di Malaysia pada Januari lalu selepas kajian menyeluruh yang dijalankan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengenai caj penerbangan di seluruh industri.

“Mavcom menyatakan dengan kadar PSC yang sama akan memudahkan persaingan yang lebih adil antara syarikat penerbangan yang beroperasi di kedua-dua terminal tersebut dan membolehkan Malaysia lebih selari dengan garis panduan antarabangsa, termasuk diskriminasi harga lapangan terbang yang menjadi prinsip Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“Kos pembangunan klia2 sebanyak RM4 bilion mengambil kira semua keperluan pihak berkepentingannya seperti evolusi model perniagaan syarikat penerbangan kos rendah yang kini menampung penumpang dan menggunakan pesawat besar serta pertumbuhan yang diunjurkan oleh syarikat penerbangan dalam segmen perjalanan murah,” kata MAHB.

MAHB menafikan menafikan dakwaan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua baru-baru ini yang mendakwa MAHB menaikkan kadar PSC bagi menampung kos pembinaan klia2 sebanyak RM4 bilion.

MAHB berkata, perkara telah dijelaskan beberapa kali kepada Pua dan ahli-ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Katanya, berdasarkan unjuran pertumbuhan klia2, lapangan terbang itu dibina untuk kapasiti 45 juta penumpang, kenaikan 50 peratus berbanding pelan asal bagi 30 juta penumpang pada kos RM2 bilion.

Dengan prestasi trafik semasa klia2, ternyata keputusan yang dibuat MAHB adalah bertepatan kerana klia2 menyaksikan pergerakan penumpang sebanyak 27 juta pada tahun 2016, tiga tahun selepas ia mula beroperasi pada bulan Mei 2014.

Kenaikan Kadar Caj Penumpang (PSC) sejak Januari lalu tidak menjejaskan prestasi trafik penumpang di klia2 dan sehingga November lalu, pertumbuhan trafik bagi bukan-ASEAN kekal mantap dan menyaksikan pertumbuhan yang lebih tinggi pada 15.1 peratus berbanding ASEAN pada 13.6 peratus.

Sejak Januari 2017, kadar PSC telah disamakan untuk semua lapangan terbang pada harga RM73 untuk antarabangsa bukan ASEAN, ASEAN (RM35) dan domestik (RM11), kecuali antarabangsa bukan ASEAN khusus di klia2 yang kekal rendah pada RM50.

Malah, kadar PSC ASEAN diperkenalkan pada pengurangan sebanyak 46 peratus daripada RM65 kepada RM35 yang memberi manfaat kepada 18 juta penumpang dan menjadikan syarikat penerbangan lebih berdaya saing untuk laluan ASEAN.

Langkah tersebut, kata MAHB merupakan usaha kerajaan untuk menarik lebih banyak ketibaan pelancong dari dalam negara ASEAN.

Menurutnya, fasa penyamaan terakhir untuk PSC antarabangsa bukan ASEAN di klia2 dari RM50 hingga RM73, melibatkan kira-kira 4.5 juta penumpang berlepas setahun, yang mana kira-kira 70 peratus atau 3 juta adalah warga negara asing.

Tegas MAHB, kadar PSC tidak termasuk dalam kos pembangunan lapangan terbang, tidak seperti sesetengah negara lain mengenakan penumpang dengan bayaran pembangunan lapangan terbang berasingan, selain daripada PSC dan ini tidak berlaku di Malaysia.

“Kadar PSC kekal sebagai salah satu yang paling murah di rantau ini dan di dunia walaupun selepas penyamaan penuh,” katanya. – MalaysiaGazette