Home Nasional KPKT lancar gerabak khas Forum Bandar Sedunia

KPKT lancar gerabak khas Forum Bandar Sedunia

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar meluangkan masa menaiki Tren WUF9 dan Kempen WUF9 Sustainable Urban Mobility In Making Our Future Green and Connected pada majlis pelancaran di Stesen LRT Putra Height, Subang Jaya, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 18 DISEMBER 2017

SUBANG JAYA – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini melancarkan gerabak khas Transit Aliran Massa (MRT) sempena persidangan Forum Bandar Sedunia (WUF) ke-9.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, persidangan WUF itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 hingga 13 februari 2018 bakal dihadiri lebih 25,000 peserta dari luar negara.

“Malaysia terpilih menjadi tuan rumah dan julung kalinya menjadi tuan rumah Forum Bandar Sedunia ini “Ia dijangka menjadi satu program terbesar dan kita harap ia disambut dengan meriahnya.

“Ia akan dihadiri oleh ramai rakyat dari luar negara. Ini adalah salah satu promosi kita buat dalam gerabak MRT,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan gerabak khas MRT di Stesen MRT Putra Heights, di sini, hari ini.

Noh juga berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memastikan tahap keselamatan peserta terjamin sepanjang persidangan itu berlangsung.

Katanya, pelbagai aspek perbandaran akan menjadi topik utama dalam persidangan itu termasuk sistem pengangkutan awam dan tahap kemampanan bandar.

“Dalam Forum Bandar Sedunia ini kita akan bincang pelbagai aspek untuk majlis perbandaran dan urbanisasi

“Antaranya pembangunan pengangkutan awam, bagaimana kita menggunakan pengangkutan awam dengan lebih berkesan. Jadi ini memang tepat kita pilih MRT.

“Pelbagai aspek kita bincang bagaimana bandar-bandar dalam negara kita sebagai mampan,” jelasnya.

Noh berkata lagi, pemilihan gerabak MRT itu tepat untuk melakukan promosi itu susulan pengangkutan itu dinaiki lebih 10 juta orang setiap bulan dari Putra Heights ke Gombak.

“Kita akan letak iklan ini selama dua bulan hingga hujung bulan Februari.

“Kita harap kempen ini akan memberikan kesedaran kepada rakyat bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah Forum Bandar Sedunia ke-9 ini,” katanya lagi.-MalaysiaGazette.