KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis berpangkat koperal maut dalam kemalangan yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang pagi ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Hasni Hassan, 54 tahun, meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar kereta Perodua Kancil.
Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 9.30 pagi di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang.
Difahamkan mangsa yang bertugas di Balai Polis Bayan Lepas sudah tamat waktu kerja dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Seberang Jaya dengan menunggang motosikal Yamaha LC.
“Siasatan awal mendapati sejurus selepas tiba di lokasi Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang ke arah Prai, mangsa telah melanggar bahagian belakang sebelah kiri kereta Perodua Kancil yang berada di lorong kiri jalan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa telah tercedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan mendapati mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan motosikal yang ditungganginya rosak teruk.
Katanya, mayat Hasni telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.
SEmentara itu, pemandu kereta Perodua Kancil, Christina Yeung Poh Cheen, 44 dan penumpangnya dipercayai anaknya, Dawn Yeoh Kah Yan, 13, yang berasal dari Jalan Dato Ismail Hashim Sungai Ara sekadar cedera ringan dan mereka dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
“Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Sek 41(1) APJ 1987 untuk mengenalpasti punca kejadian,” katanya .- MalaysiaGazette