Home Seni Hidup Pulihara Tarian Dabus untuk generasi masa depan

Pulihara Tarian Dabus untuk generasi masa depan

KUALA LUMPUR – Sebagai usaha untuk memelihara seni Tarian Dabus, sebuah persembahan khas yang dijayakan oleh Kumpulan Dabus Tanjung Bidara telah diadakan di Kampung Gajah, Perak bertempat di kediaman Ismail Yusof.

Persembahan tersebut bertujuan bagi sesi penggambaran dan kerja-kerja fotografi untuk didokumentasikan hasil usaha sama antara Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Tarian Dabus telah diiktiraf sebagai tarian tradisional Negeri Perak sejak lebih 40 tahun yang lalu oleh JKKN Negeri Perak.

Menurut sejarah, Tarian Dabus berasal dari Timur Tengah yang merupakan tradisi yang bukan sahaja sebagai hiburan setempat malah juga dianggap sebagai menguji keperkasaan kerana tarian ini memerlukan penari untuk mencucuk objek tajam yang dipanggil Anak Dabus ke lengan mereka.

Tarian Dabus mengandungi maksud di sebalik tarian ini yang kurang diketahui umum.

Ia sebenarnya adalah tarian perang yang mengikut gerak langkah pahlawan zaman dahulu kala.

Lenggok tarinya jika diamati seperti orang sedang bersilat dan dalam kelembutan ia boleh mengundang bahaya.

Malah Anak Dabus yang digunakan juga tajam dan boleh dijadikan sebagai senjata dan dengan satu tikaman sahaja sudah boleh mendatangkan kecederaan parah.

Namun demikian, seni tarian tradisional ini semakin dilupakan oleh generasi kini.

Banyak pihak mempertikaikan mengenai Tarian Dabus kerana kaitannya dengan alam mistik, jampi serapah dan unsur ritual dalam persembahan yang menjurus kepada amalan khurafat dalam Islam.

Namun dalam kalangan penggiat seni, Tarian Dabus sangat istimewa dan diangkat sebagai warisan sebenar negara yang patut dipelihara dan dikekalkan, selain menganggap unsur mistik dalam tarian tersebut sebagai “rencah” dalam tarian tradisional.

Menurut Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron; “Usaha sama antara ITBM dan JKKN mendokumentasikan segala maklumat tentang Tarian Dabus dalam bentuk buku merupakan salah satu tindakan pemuliharaan seni selain bagi meneruskan kesinambungan tarian tradisional tersebut supaya tidak pupus.”

“Sebelum ini, ITBM telah menerbitkan buku tentang Mek Mulung, Wayang Kulit, Makyung, Oud dan lain-lain sebagaimana Tarian Dabus yang merupakan sebahagian daripada kesenian warisan Negara.

“Semua tradisi yang kita miliki ini tidak sewajarnya dipinggirkan malah perlu terus dipelihara kerana ia melambangkan kesenian dan kebudayaan citra kita.”

Buku mengenai Tarian Dabus ini merupakan buku kerjasama kedua antara ITBM dan JKKN.
Sebelum ini, ITBM dan JKKN telah menjalin usaha sama dalam penerbitan buku Peranakan Cina Kelantan: Sintesis Cina Tanah Besar Dan Melayu Tanah Melayu pada tahun 2016.- MalaysiaGazette