Home Utama PM mahu siasatan terperinci bot karam di Sabah

PM mahu siasatan terperinci bot karam di Sabah

Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mahu siasatan terperinci dilakukan bagi mengenalpasti punca kejadian bot karam di perairan Sabah pada Sabtu lalu.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, buat masa sekarang tumpuan sepenuhnya harus diberikan kepada usaha mencari dan menyelamat enam lagi mangsa yang masih belum ditemui.

“Saya pandang serius tragedi bot karam di Sabah, dan saya mahu siasatan terperinci dilaksanakan untuk kenalpasti punca kejadian,” katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, sebuah bot jenis katamaran yang membawa pelancong warga China Pulau Mengalum dari Kota Kinabalu karam dipercayai disebabkan angin kencang dan ombak besar.

Setakat ini, seramai 20 mangsa ditemui selamat, tiga terkorban manakala enam lagi masih hilang dan gerakan mencari mereka yang hilang masih dilakukan pihak berkuasa.

Berikutan daripada insiden tersebut, Perdana Menteri meminta semua pihak mengikut peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin. – MalaysiaGazette