KOTA BHARU – Pertemuan Kelantan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu ini adalah ujian penting bagi skuad The Red Warriors menilai kemampuan mereka.
Penyerangnya Indra Putera Mahayuddin berkata perlawanan itu menguji pemain untuk menunjukkan kemampuan serta kualiti sebenar mereka apabila berdepan lawan yang dianggap mantap ketika ini.
“Ia sudah tentu perlawanan yang dinantikan semua pihak, baik pemain mahupun penyokong. Malah ia juga merupakan satu perlawanan berat yang perlu dihadapi kami.
“Apa yang penting adalah semangat berpasukan yang akan membawa kejayaan serta hasil yang positif,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, Isnin.
Penyerang berpengalaman itu berkata kemenangan pada perlawanan pertama ke atas PKNS 3-1 Jumaat lalu adalah suntikan moral yang baik bagi rakan sepasukannya untuk mencipta kemenangan ke atas JDT nanti.
“Saya yakin persefahaman antara pemain import dan tempatan pada perlawanan pertama tempoh hari boleh ditingkatkan lagi bagi beraksi lebih baik pada Sabtu ini.
“Kami perlu banyak berkomunikasi dan membantu antara satu sama lain bagi menguatkan pasukan. Saya juga yakin pemain muda yang diturunkan nanti mampu menjalankan tugas dengan cemerlang walaupun berdepan pasukan kuat seperti JDT,” katanya.
Ditanya kekuatan skuad JDT, Indra Putra berkata kelebihan utama yang dimiliki pasukan dari selatan tanah air itu ialah kerjasama yang terbentuk ketika beraksi di atas padang.
Menurutnya dalam dua perlawanan pertama JDT, pasukan itu bermain baik sebagai satu pasukan dan saling membantu bagi memastikan kemenangan.
“Dari segi kelemahan itu tidak banyak, namun sekiranya kami bermain lebih baik daripada mereka, tidak mustahil kami dapat tewaskan mereka di laman sendiri nanti,” katanya.
— BERNAMA