Home Ekonomi Rizab antarabangsa: MOF jawab Tun M

Rizab antarabangsa: MOF jawab Tun M

Jo
Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR – Sistem pengurusan rizab antarabangsa ketika ini berfungsi dengan baik sekaligus menjadikan pasaran kewangan Malaysia berada dalam keadaan stabil terutama ketika berhadapan dengan pengaliran keluar modal secara besar-besaran.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penurunan rizab sebanyak AS$39.6 bilion tidak memberi sebarang impak kepada ekonomi Malaysia serta kedudukan kewangan Bank Negara.

“Hakikatnya, BNM terus merekodkan keuntungan bersih yang positif sepanjang tempoh berkenaan. Tidak seperti yang berlaku pada 1993 apabila mencatatkan kerugian operasi disebabkan oleh aktiviti perdagangan matawang asing secara spekulatif.

“Ingin saya tegaskan bahawa rizab antarabangsa kekal sebagai penempan penting kepada tekanan luaran dan merupakan perkara utama di dalam memastikan kestabilan operasi ekonomi domestik.

“Sejak dari tempoh tersebut, rizab antarabangsa Malaysia telah pun meningkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Johari menjawab tuduhan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sebuah video di Youtube yang mendakwa BNM kehilangan AS$369.6 bilion pada tahun 2013 sehingga 2015 semasa menguruskan rozab antarabangsa.

Jelas beliau, kerugian yang didakwa bekas perdana menteri itu sebenarnya adalah penyusutan rizab antarabangsa susulan pengaliran keluar modal asing daripada Malaysia dan bukannya kerugian akibat dagangan matawang asing.

“Pengaliran keluar modal itu adalah disebabkan kebimbangan terhadap pertumbuhan global yang lemah, jangkaan normalisasi dasar monetari Amerika Syarikat serta kejatuhan teruk harga minyak dunia.

“Ketiga-tiga faktor tersebut memberi tekanan kepada pelabur asing untuk mencairkan pelaburan mereka dalam pasaran saham dan bon tempatan.

“Situasi ini bukan hanya terjadi kepada Malaysia malah turut menjejaskan negara-negara membangun yang lain termasuk Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, India, China, Korea Selatan dan Taiwan,” jelasnya.

Menurut Johari, setakat hujung November 2017, rizab antarabangsa berada pada paras AS$101.9 bilion dan mencukupi untuk menyokong 7.5 bulan import.

Rizab tersebut adalah lima kali ganda lebih tinggi berbanding AS$21.7 billion yang direkodkan pada 1997 yang pada ketika itu hanya mampu menyokong 3.4 bulan import.-MalaysiaGazette