KUALA LUMPUR – Purata gaji di Malaysia dijangka meningkat kepada 3.2 peratus pada tahun 2018 dan mengatasi pertumbuhan 1.3 peratus pada tahun 2017.
Firma perunding pengurusan global, Korn Ferry Hay Group (Korn Ferry) turut mengunjurkan perkhidmatan kewangan, pembinaan dan pembangunan hartanah serta industri pengurusan mencatat kenaikan kadar gaji tertinggi berbanding sektor seperti kesihatan dan sains kehidupan, minyak dan gas serta produk industri yang berdepan keadaan sebaliknya.
“Kami melihat berlakunya langkah pengurangan upah atau gaji sebenar di peringkat global berikutan kenaikan inflasi di sebahagian besar dunia (ketika ini).
“Kadar kenaikan atau pengurangan gaji adalah berbeza mengikut peranan, industri, negara serta rantau.
“Namun, apa yang jelas, secara puratanya, pekerja tidak lagi melihat pertumbuhan gaji yang sama seperti mereka nikmati setahun lalu,” kata Ketua Unit Penyelesaian Ganjaran dan Faedah Korn Ferry Global, Bob Wesselkamper dalam satu kenyataan hari ini.
Firma itu berkata, kadar purata bonus juga dijangka berkurangan sedikit pada 2018 iaitu kepada 2.5 bulan berbanding 2.6 bulan yang dicatatkan pada tahun ini. – BERNAMA