Home Nasional Kerajaan perlu jelaskan pelaburan China untuk elak kekhuatiran – MTEM

Kerajaan perlu jelaskan pelaburan China untuk elak kekhuatiran – MTEM

Kertas cadangan mengenai kaedah pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan dikemukakan kepada kerajaan dalam tempoh dua minggu, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin.
Tun Daim Zainuddin

CYBERJAYA – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyuarakan cadangan supaya kerajaan membuat penjelasan yang lebih teliti berhubung pelaburan dari China bagi mengelakkan kekhuatiran susulan persoalan dilontar oleh bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman berkata, persoalan yang dibangkitkan oleh Daim memiliki asas dan kerajaan perlu memberikan penjelasan sama ada pelaburan dari China memberi kesan positif atau negatif kepada negara.

“Betul, kami setuju dengan persoalan Tun Daim adakah ia satu pelaburan atau pinjaman dan kalau ia pinjaman bagaimanakah kita dapat memastikan kesan daripada pinjaman itu melebihi positif dari negatif.

“Tapi saya rasa tak perlu untuk saya kupas dengan lebih panjang kerana isu ini jelas adalah kerana kekhuatiran sesetengah pihak tentang seperti apa yang saya kata tadi, adakah kita mendapat hasil sewajarnya dengan pelaburan yang dibuat,” kata beliau dalam satu sidang media selepas mesyuarat Agung Tahunan MTEM di Cyberjaya, hari ini.

Daim baru- baru ini membangkitkan isu mengenai pelaburan China untuk projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Daim ketika ditemui media pada Ahad selepas menghadiri sesi dialog tertutup anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Subang Jaya, Selangor membangkitkan persoalan sama ada kerajaan perlu membuat bayaran semula kepada pembiaya China.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di Kompleks Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MAGiC), Cyberjaya. foto SAFWAN MANSOR, 19 DISEMBER 2017

Mengulas lanjut Ahmad Yazid berkata, pihaknya juga turut khuatir dengan apa yang menjadi kebimbangan Daim.

“Kami khuatir tetapi kami tidak mahu membuat satu kenyataan yang terburu-buru, kita tunggu lagi kenyataan-kenyataan daripada kerajaan untuk meyakinkan rakyat keberkesanan program ini dari segi menjana ekonomi negara.

“Untuk setengah perkara kami ada bincangkan tapi kami ambil pendekatan tunggu dan lihat bagaimana perkara itu akan dikongsikan dengan rakyat sebelum ia diulas dengan lebih lanjut beserta data-data yang lengkap dan kami juga tak mahu jump the gun,” katanya lagi.

Oleh demikian, Ahmad Yazid berkata adalah perlu untuk satu kajian dilakukan pihak terlibat selain pembentangan khusus mengenainya.

“Sebuah kajian perlu dilakukan dan perlu dibentang untuk menenangkan pihak-pihak yang merasa khuatir dengan isu yang disebutkan oleh Tun Daim itu,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette