Home Nasional Jamal tawar biaya kos guaman Cikgu Azizan

Jamal tawar biaya kos guaman Cikgu Azizan

Jamal Md Yunos

KUALA LUMPUR – Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos menawarkan bantuan guaman kepada ‘Cikgu Azizan’ selepas keluarga pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai mahu menyamannya.

Jamal membuat tawaran itu selepas mendapati keluarga pelajar terbabit seolah-olah tidak menerima keputusan Mahkamah Majistret Seremban yang membebaskan cikgu disiplin itu.

“Saya akan bantu untuk keseluruhan kos guaman cikgu Azizan,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp lewat malam tadi.

Semalam, Cikgu Azizan atau nama sebenarnya Azizan Manap, 44, dibebaskan Mahkamah Majistret Seremban daripada pertuduhan mencederakan muridnya ekoran masalah disiplin, pada Oktober lalu.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Susulan keputusan mahkamah itu, ibu murid berkenaan yang mahu dikenali sebagai Mas, 45, bercadang memfailkan saman terhadap guru tersebut kerana mencederakan anak mereka.

Katanya, mereka mempunyai bukti kecederaan serius dialami anak bongsu daripada lima beradik tersebut termasuk gambar dan laporan perubatan.

Mengikut pertuduhan, Azizan didapati telah menyebabkan cedera pada pipi sebelah kiri seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun pada 6 April 2017, jam lebih kurang 7 pagi di hadapan tapak perhimpunan Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Seremban.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette.