KUALA LUMPUR – Keluarga kepada seorang pelajar yang mendakwa dicederakan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Sekolah Rendah Taman Semarak, Nilai, Seremban, Azizan Manap tidak hadir ke Balai Polis Nilai seperti dijanjikan.
Sekumpulan petugas media yang menunggu sejak dari pukul 10 pagi di balai polis berkenaan terpaksa pulang dengan hampa apabila kelibat keluarga pelajar berkenaan tidak kelihatan.
Mereka bertumpu di balai polis itu selepas salah seorang daripada ahli keluarga pelajar terbabit menyatakan akan membuat kenyataan kepada media selepas bertemu dengan pihak polis berhubung kes itu.
Anggota keluarga pelajar tersebut berkata demikian ketika ditemui pemberita di Mahkamah Majistret Seremban sejurus pengumuman penarikan semula kes itu daripada dibicarakan di mahkamah semalam.
Difahamkan, pertemuan anggota keluarga pelajar berkenaan dengan pihak polis adalah bagi mengetahui perkembangan siasatan yang telah dijalankan.
Semalam, Mahkamah Majistret Seremban membebas tanpa melepaskan Azizan atas tuduhan memukul seorang pelajar disekolahnya hingga menyebabkan kecederaan.
Dia dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama setahun, senda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, usaha MalaysiaGazette untuk mendapatkan maklum balas daripada pengetua sekolah tempat Azizan mengajar tidak mendapat kerjasama sepenuhnya.
Pengetua tersebut yang hanya dikenali sebagai Cikgu Azhar ketika dihubungi berkata, beliau diarah oleh seorang pegawai agar tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kes itu.
“Saya diberitahu oleh pegawai jangan cakap perkara ini lagi,” katanya tanpa menyatakan pegawai yang mengeluarkan arahan itu sebelum memutuskan panggilan. – MalaysiaGazette