ENGLAND – Pengurus the Reds, Jurgen Klopp dilaporkan kecewa dengan penyerangnya Daniel Sturridge yang gagal menjaringkan gol dalam enam perlawanan setakat ini.
Prestasi yang dikatakan hambar dari pemain antarabangsa England itu menyebabkan Klopp bersedia untuk melepaskan pemain itu memilih kelab baharu pada akhir musim ini.
Klopp kini mempunyai hasrat untuk mencari seorang penyerang berbisa dan agresif bagi menggantikan Sturridge di Anfield.
Selain itu, Sturridge yang sering dilanda kecederaan juga didakwa sebab Klopp hilang sabar ke atas pemain itu.
Sturridge, 27, juga dikatakan kecewa terhadap pengurus kelahiran German itu yang didakwa tidak memberi peluang kepadanya untuk beraksi lebih kerap bersama pasukan pertama.
Sepanjang 20 penampilan bersama the Kops, Sturridge hanya menjaringkan enam gol musim ini.
Klopp sepatutnya memahami bahawa pemain itu boleh menjadi penyerang paling bahaya dan digeruni dalam Liga Perdana Inggeris tetapi prestasinya menurun sejak musim lalu.
Sejak Klopp tiba ke Anfield Sturridge sering dilanda kecederaan.
Prestasi semasa Sturridge dikatakan menyebabkan pengurusan tertinggi kelab mempertimbangkan untuk menjual pemain itu.
Penyerang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang berada dalam radar the Kops untuk dibida dengan nilai £68.5 juta pada akhir musim ini.
Liverpool kini tersingkir dari saingan Piala EFL dan Piala Emirates FA England dan aksi malap Sturridge terus dikecam legenda kelab itu Jamie Carragher.
“Kini Liverpool beraksi seperti 10 pemain dan sumbangan Sturridge tidak dapat dilihat seperti musim-musim lalu,” tegasnya. – MalaysiaGazette