Home Politik Iskandar nafi bertanding Parlimen Pandan

Iskandar nafi bertanding Parlimen Pandan

Iskandar A. Samad

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Datuk Iskandar Abdul Samad menolak dakwaan beliau akan bertanding Parlimen Pandan sebagaimana yang digembar-gemburkan.

Naib Presiden Pas itu turut berkata, khabar angin itu adalah taktik sesetengah pihak yang ingin ‘mengintai’ kerusi miliknya itu pada PRU-14.

Alasan itu diberikan Exco Kerajaan Negeri Selangor itu berdasarkan perolehan majoriti besar yang dijanjikan oleh pengundi di kawasan terbabit kepadanya sebelum ini.

“Tidak bertanding di (Parlimen) Pandan tapi di (DUN) Chempaka.

“Mungkin cerita ini diwujudkan oleh mereka yang nak ambil kerusi Chempaka dari saya! Yelah majoriti 9,605, sape tak nak,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Malah Iskandar tidak akan berganjak daripada kerusi itu dan hanya akan bertanding di DUN Chempaka bagi menguatkan kedudukan Pas di Selangor.

DUN Chempaka merupakan salah satu DUN dalam Parlimen Pandan, antara lain adalah Teratai dan Lembah Jaya.

PRU-14 di Selangor dijamin berhadapan pertembungan tiga penjuru apabila kehadiran Parti Amanah Negara (PAN) yang ingin merampas kerusi Pas di Selangor.

Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa sebelum ini yakin partinya akan merampas 13 kerusi DUN Selangor dimenangi Pas pada PRU-13 lalu.

PAN konsisten mahu bertanding kerusi DUN disandang Pas, iaitu Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Chempaka, Meru, Dusun Tua, Tanjung Sepat, Sabak, Gombak Setia, Bangi, Seri Serdang, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Hulu Kelang.- MalaysiaGazette