Home Nasional Mangsa skim kewangan haram rayu wang dikembalikan

Mangsa skim kewangan haram rayu wang dikembalikan

Peguam, Faizal Rahman (tengah) mewaklili mangsa ketika menyerahkan laporan rasmi berkaitan mangsa penipuan syarikat MGSB bernilai jutaan ringgit di Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Mangsa-mangsa yang terlibat dengan skim kewangan haram oleh syarikat MGSB Berhad menaruh harapan tinggi agar wang mereka dapat dikembalikan.

Rata-rata mangsa yang ditemui menyatakan, mereka kesal dan serik dengan apa yang berlaku dan berharap agar pihak-pihak tertentu terutama Bank Negara Malaysia (BNM) dapat membela nasib mereka.

Menceritakan tentang pengalaman bagaimana mereka boleh terlibat melabur dengan syarikat itu, kebanyakannya memberitahu terpengaruh dengan iklan serta rakan-rakan.

Mohd Nazir Husin

Seorang kakitangan awam, Mohd Nazir Husin, 42, berkata, dia sangat hampa setelah mengetahui syarikat tersebut diserbu baru-baru ini kerana terlibat menjalankan skim kewangan haram.

Katanya, hasrat mahu membantu keluarga yang susah terutama ibu dan ayahnya di kampung tidak kesampaian selepas percaturannya tersilap gara-gara percaya dengan cerita abang dan juga rakan-rakan yang pernah terlibat dengan skim itu.

“Saya tak sangka ia boleh jadi begini. Harapan mahu membantu keluarga punah dan saya kini hanya berharap agar wang saya itu dapat semula,” katanya.

Kakitangan swasta, Norhayati Md Nasir, 50, pula berkata, dia sedih dengan apa yang berlaku serta tidak menyangka akan menjadi mangsa penipuan syarikat terbabit.

Nor hayati Md Nasir

Ujarnya, pada asal pembabitannya dengan syarikat tersebut, dia sedikitpun tidak merasa curiga kerana rakan-rakannya yang mengajak meyakinkan bahawa pulangan daripada wang yang dilabur menguntungkan.

“Akhirnya baru saya tahu rupa-rupanya apa yang dikata itu tidak menjadi kenyataan dan hari ini saya merayu agar ada pihak dapat membantu bagi mendapatkan kembali wang saya itu,” katanya.

Sementara itu seorang pemandu lori, Musa Maidin, 49, berkata, dia sangat terkilan dengan apa yang berlaku serta tidak menyangka mudah dipermainkan oleh pihak terbabit yang dianggap tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, dia berserah kepada qada dan qadar serta ketentuan Allah yang mencatur kehidupan manusia di muka bumi ini.

Musa Maidin

Katanya, dia hanya menerima semula wang RM2,000 daripada jumlah sebenar wang tunai yang diberikan iaitu sebanyak RM20,000 kepada syarikat terbabit pada Mei lalu.

“Bukan mudah nak kumpul duit sebanyak itu pada masa ini. Mereka pula senang-senang nak tipu kami.

“Saya ini menanggung lima orang anak yang masih bersekolah dan jika tidak menjadi mangsa penipuan ini wang itu boleh saya gunakan untuk menampung perbelanjaan sekolah mereka.

“Kami harap wang kami itu dapat dikembalikan dan biarlah mereka yang terlibat menipu kami ini mendapat pembalasannya nanti,” ujarnya yang datang dari Johor Bahru.

Seramai 200 orang yang didakwa menjadi mangsa penipuan syarikat terbabit hari ini menyerahkan laporan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapatkan pembelaan.

Dokumen tersebut diserahkan menerusi peguam yang mewakili mereka Tetuan Faizal Rahman & Co.

Pada September lepas, BNM bersama tiga agensi penguatkuasa lain telah menyerbu MGSB Berhad kerana disyaki menjalankan skim kewangan haram.

MGSB diserbu kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Serbuan telah dibuat ke atas tujuh buah premis yang berkaitan dengan MGSB Berhad di Kajang, Bangi, Shah Alam dan Kuala Lumpur (Jalan Tun Razak) dan entiti berkaitannya (setiausaha syarikat dan firma guaman). – MalaysiaGazette

MGSB disyaki jalankan skim kewangan haram