PASIR MAS – Seorang tukang rumah dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyeludup empat migran pada awal bulan ini.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Radzi Halim, 37, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Rashid Mustafa.
Tertuduh yang berasal dari Kok Lanas, Kota Bharu didakwa melakukan kesalahan itu di Pos Sekatan Jalan Raya Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Simpang Empat Salam, Rantau Panjang di sini, pada 7.30 malam, 12 Disember lepas.
Dia dituduh menyeludup tiga migran yang tidak mempunyai pasport dikenali sebagai Naing Naing Aung, Myo Elwin dan Soe Hwin dan seorang warganegara Myanmar, Myo Min Lwin mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wong Siew Ming manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 26 Disember untuk sebutan semula kes. – Bernama