KUALA LUMPUR – Susulan tular kesilapan ejaan ucapan Krismas, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memohon maaf dan mengalihkan kain rentang tersebut di Lapangan Terbang Kota Bharu.
Dalam satu kenyataan di Facebook, syarikat pengendali lapangan terbang di Malaysia itu mengambil maklum penularan isu tersebut dalam media sosial dan sudah mengambil tindakan segera dengan mengalihkannya.
“Kami segera mengalihkan kain rentang itu selepas menyedari kesilapan itu semalam.
“Kami memberi jaminan ini tidak berlaku di lapangan terbang lain.
“Terima kasih atas keprihatinan anda membangkitkan perkara ini kepada kami. Kami memohon maaf dan mengucapkan ‘Merry Christmas’ serta ‘Happy New Year’ kepada anda,” katanya yang memperbetulkan kesilapan dua ejaan itu.
Terdahulu, mesej pada kain rentang di bawah logo Malaysia Airports berbunyi “Wishing you a Mary Christmas & Happy New Years”. – MalaysiaGazette