Home Ekonomi Wedfa tawar serendah RM4,000 pakej perkahwinan lengkap

Wedfa tawar serendah RM4,000 pakej perkahwinan lengkap

Model Wedfa memperagakan pakaian bertemakan majlis resepsi pada Majlis Perasmian Festival Perkahwinan 2017 di Pusat Beli Belah GLO, Damansara, Selangor. foto IQBAL BASRI, 24 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Berita baik buat pasangan yang merancang untuk mendirikan rumahtangga apabila Festival Perkahwinan (Wedfa) 2017 menawarkan pakej serendah RM4,000 untuk majlis perkahwinan lengkap.

Pengarah Wedfa, Datuk Sri Erynna Abdul Rasyid berkata, dengan kerjasama kompleks beli-belah Glo Damansara, pakej perkahwinan bukan lagi sesuatu yang membebankan, malah ia menjimatkan kos untuk bakal raja sehari.

“Ada perancang perkahwinan dan studio perkahwinan di sini yang menawarkan pakej 100 orang hanya RM4,000 serba lengkap dengan dewan, pakaian, fotografi dan sebagainya.

“RM4,000 itu satu harga yang sangat menjimatkan dan tidak membebankan untuk pasangan yang baru nak berkahwin,” katanya pada program Wedfa 2017 di Glo Damansara, di sini, hari ini.

Sri Erynna berkata, Wedfa merupakan satu platform untuk menyatukan semua industri perancang perkahwinan antara yang sudah lama bertapak di industri mahupun yang baharu.

“Saya memberi peluang kepada pemain industri yang mula menceburi bidang perancangan perkahwinan dengan digabungkan dengan perancang perkahwinan yang telah berjaya untuk mewujudkan satu jaringan perniagaan.

“Dalam masa sama saya ingin memberi peluang kepada pereka-pereka fesyen untuk menyerlahkan rekaan mereka untuk dipertandingkan,” jelasnya.

Katanya lagi, Wedfa juga membantu pereka-pereka baharu bersaing secara sihat menerusi industri perancangan perkahwinan.

“Insya-Allah kalau diizinkan mungkin kita boleh bawa mereka ke peringkat yang lebih jauh seperti mengadakan pertunjukan fesyen di peringkat antarabangsa.

“Kita memberi fokus antara baharu dan yang lama supaya mereka tidak bersaing terlalu banyak,” katanya. – MalaysiaGazette.