FLORIDA – Lima terbunuh apabila sebuah pesawat ringan yang dinaiki oleh sebuah keluarga terhempas.
Kemalangan itu membunuh juruterbang John Shannon, 70, dua anak perempuan dewasanya, menantunya dan rakan keluarga dalam penerbangan untuk bercuti sempena Krismas, kata polis tempatan.
Penyiasat berkata, pesawat Cesna 340 dengan enjin berkembar itu berlepas dari Bartow Airbase, berhampiran Tampa, kira-kira pukul 7.15 pagi (8.15 malam Singapura) menuju Key West.
Namun, ia terhempas ketika berada berhampiran hujung landasan Bartow.
Punca nahas itu masih disiasat.
Polis berkata, ketika kejadian ruang udara kawasan berkenaan masih berkabus.
Semua mangsa mati akibat impak terhempas.
Selain Shannon, mangsa-mangsa lain dikenal pasti sebagai Olivia Shannon, 24, pelajar universiti; Victoria Shannon Worthington, 26, guru sekolah; suaminya Peter Worthington, Jr, seorang pelajar undang-undang; dan rakan keluarga Krista Clayton, 32, seorang guru. – MalaysiaGazette