Home Dunia PBB desak henti keganasan Rohingya, lantik utusan khas

PBB desak henti keganasan Rohingya, lantik utusan khas

Wanita dan kanak-kanak Rohingya terpaksa menyelamatkan diri ke Bangladesh selepas tentera Myanmar melancarkan operasi di negeri itu. foto Agensi

NEW YORK – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa (PBB) Bersatu mendesak Myanmar untuk menamatkan kempen ketenteraan terhadap penduduk Islam Rohingya dan meminta pelantikan seorang utusan khas PBB, walaupun ditentang dari China, Rusia dan beberapa negara serantau.

Satu resolusi yang dikemukakan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah diterima pakai oleh undi 122-10 dengan 24 berkecuali.

China, Rusia, Kemboja, Laos, Filipina dan Vietnam menyertai Myanmar dalam mengundi menentang langkah tersebut termasuk Belarus, Syria dan Zimbabwe.

Resolusi itu turut menyeru Myanmar membenarkan akses kepada pekerja bantuan, memastikan kembalinya semua pelarian dan memberikan hak kerakyatan penuh kepada Rohingya.

PBB turut meminta Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres melantik wakil khas ke Myanmar.

Langkah itu diambil oleh PBB selepas jawatankuasa belanjawannya memberikan cahaya hijau untuk dana bagi jawatan utusan khas PBB ke Myanmar.

Lebih daripada 650,000 Rohingya Muslim telah melarikan diri dari Myanmar sejak operasi tentera dilancarkan di negeri Rakhine pada akhir bulan Ogos.

Pihak berkuasa Myanmar menegaskan kempen itu bertujuan untuk mengusir militan Rohingya yang menyerang balai-balai polis pada 25 Ogos tetapi PBB menyatakan keganasan yang berlaku itu bertujuan untuk pembersihan etnik.

Minggu lalu, pelapor khas PBB untuk Myanmar, Yanghee Lee, memaklumkan beliau telah diharamkan dari Myanmar dan kerajaan telah menghentikan semua kerjasama dengannya. – MalaysiaGazette