Home Dunia Bakeri enggan tulis ucapan Krismas pada kek

Bakeri enggan tulis ucapan Krismas pada kek

Iklan permohonan maaf oleh pemilik kedai roti dan kek The Chocolicious yang di siar di Instagram dan Facebook.

JAKARTA – Sebuah kedai kek dan roti di bandar Makassar, Indonesia, mencetuskan kekecohan apabila enggan menerima tempahan pelanggan yang mahukan perkataan ‘Selamat Hari Krismas’ atau ‘Merry Christmas’ ditulis pada kek yang dipesan pelanggan.

Kedai bakeri The Chocolicious Indonesia itu memuat naik satu status memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi tempahan sedemikian, di akaun Instagram dan Facebook mereka.

Menerusi permohonan maaf itu, bakeri berkenaan memaklumkan tindakan itu dibuat atas dasar ‘prinsip agama’ dan mereka menyediakan papan coklat dan kad ucapan sebagai ganti.

“Kami tetap menyediakan kad ucapan dan papan coklat sebagai kelengkapan pesanan. Anda bebas memberikan ucapan sendiri,” tulis bakeri itu dalam permohonan maaf tersebut.

Memiliki 39,000 pengikut di Instagram, status berkenaan menerima lebih 22,000 likes dan 26,000 komen, namun pemeriksaan terbaharu mendapati ruangan komen telah pun ditutup. – MalaysiaGazette