KUALA LUMPUR – Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang bakal diadakan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 30 Disember ini tanpa melibatkan perwakilan cawangan membuktikan parti itu dalam keadaan tergesa-gesa dan terdesak, kata Penganalisis politik, Dr Salawati Mat Basir.
Jelasnya, AGM sesebuah parti politik lazimnya akan dimulakan dengan mesyuarat di peringkat cawangan, namun berbeza dengan PPBM yang masih gagal menubuhkan perwakilan peringkat cawangan sehingga hari ini.
“PPBM tahu kekangan kalau tidak buat AGM, ada masalah buat parti untuk Pilihan raya Umum (PRU) nanti.
“Dia tahu tidak sempat buat cawangan tapi selalunya kena dari peringkat itu. Dalam keadaan terdesak kena buat AGM, kena tengok perlembagaanlah.
“Memang macam terdesak. Memang nampak terdesak sangat. Kalau tidak PPBM tidak boleh sertai PRU,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tambah Salawati, peringkat cawangan merupakan akar umbi yang sepatutnya didahulukan kerana suara, pandangan parti adalah bermula dari situ.
“Amalannya semua parti politik semua bermula dari cawangan, kena ada mesyuarat cawangan sebelum AGM, sebab itu dari akar umbi, macam mana nak tahu perasaan ahli akar umbi, cadangan, pendapat kalau bukan dari situ?” tambahnya.
Terdahulu Timbalan Presiden PPBM, Datuk Mukhriz Mahathir mengakui kegagalan menyelesaikan isu berkaitan struktur organisasi akar umbi khususnya di peringkat cawangan menjadi antara punca PPBM gagal mengadakan AGM parti itu.
Parti itu terpaksa mengadakan AGM selepas berdepan risiko dibubarkan RoS selepas didapati melanggar tiga perlembagaan partinya sendiri iaitu gagal mengadakan AGM, menangguhkan AGM tanpa peruntukan parti dan menggunakan istilah Armada untuk sayap pemuda parti, yang mana ia bertentangan dengan perlembagaan partinya sendiri.
Ini menyebabkan pendaftaran gabungan Pakatan Harapan turut terjejas.
Salawati yang juga Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam pada itu berkata PPBM tidak boleh menyalahkan RoS pada masa depan jika parti itu sekali lagi melanggar perlembagaannya dalam mengadakan AGM hujung tahun ini.
“RoS pun tidak hendak menyusahkan sesiapa walaupun dituduh pelbagai pihak itu dan ini. Kalau PPBM hendak buat AGM dan penuhi apa yang ada dalam perlembagaan tidak mengapa. Kena tengok kembali perlembagaan parti.
“Jangan salahkan RoS pada penghujungnya sebab RoS tengok perlembagaan parti,” ujarnya lagi.
Ketua Penerangannya, Datuk Kamaruddin Md Noor memaklumkan sebelum ini memaklumkan AGM parti itu 30 Disember ini tidak akan melibatkan perwakilan peringkat cawangan parti memandangkan ia masih dalam proses untuk ditubuhkan. -MalaysiaGazette