Home Nasional Allahyarham Shahnon Ahmad alami Pneumonia – anak

Allahyarham Shahnon Ahmad alami Pneumonia – anak

Asrulsani Shahnon mengimamkan Solat Jenazah ayahnya, Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Shahnon Ahmad di Surau Al-Madani, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 26 DISEMBER 2017

KAJANG – Allahyarham Profesor Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Kajang sejak empat hari lalu ekoran mengalami masalah Pneumonia.

Perkara itu diberitahu oleh anak lelaki Allahyarham Asrul Sani kepada MalaysiaGazette di hospital berkenaan sebentar tadi.

Menurut Asrul, bapanya mengadu sakit dada dan sering batuk-batuk menyebabkan mereka sekeluarga membuat keputusan menghantarnya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Dia (Allahyarham) sudah mendapatkan rawatan di Hospital KPJ di sini sejak Sabtu lepas. Doktor memberi rawatan seperti biasa.

“Kami jangka ayah sepatutnya keluar hospital hari ini selepas semalam kesihatannya seakan pulih. Tapi apakan daya, Allah lebih menyayangi dan kami sekeluarga redha dengan pemergiannya,” katanya.

Tambah beliau, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum dirinya dipanggil Ilahi.

Katanya, Allahyarham merupakan seorang bapa yang sangat penyayang dan sering mengambil tahu perihal keluarga dan cucu-cucunya.

Asrulsani Shahnon

Jenazah Allahyarham kini dibawa ke Surau Madani Seksyen 3, Bandar Baru Bangi untuk disembahyangkan selepas solat Zuhur.

Jenazah kemudiannya akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi.

Shahnon, 84, yang juga bekas Ahli Parlimen Sik menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak serta 14 orang cucu.

Dilahirkan pada 13 Januari 1933 di Kampung Banggul Derdap, Sik Kedah, Shahnon adalah antara novelis dan cerpenis terkenal dalam dunia sastera sekitar awal 50-an.

Allahyarham terlibat dalam politik sebagai ahli Pas dan bertanding di kerusi Parlimen Sik melawan calon Barisan Nasional (BN), Allahyarham Tan Sri Abdul Hamid Othman pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU 10) tahun 1999.

Dalam pertandingan itu, Allahyarham Shahnon menang dengan majoriti 478 undi. Beliau mendapat 13,504 undi, manakala Abdul Hamid mendapat 13,026 undi. – MalaysiaGazette