Home Seni Hidup Peniaga sedih ‘pemergian’ Ampang Park namun ia bukan satu pengakhiran

Peniaga sedih ‘pemergian’ Ampang Park namun ia bukan satu pengakhiran

KUALA LUMPUR – Umum mengetahui pusat membeli-belah yang pertama di Malaysia iaitu Ampang Park yang mula beroperasi pada 1973 akan dirobohkan pada 31 Disember ini.

Ampang Park akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT).

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati banyak kedai yang membuat ‘jualan selamat tinggal’ (Goodbye sale) yang mana barangan dijual pada harga yang murah.

Kebanyakan kedai membuat jualan murah sehingga 70% sempena penutupan kedai di Pusat Membeli Belah Ampang Park, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 26 DISEMBER 207

Ia bertujuan untuk menghabiskan semua stok dalam baki beberapa hari lagi.

Tidak ketinggalan berbuat demikian Ong, 67 pemilik kedai piring hitam, cakera padat dan kaset selama 44 tahun, sejak pusat membeli belah itu dibuka.

Beliau meluahkan rasa sedihnya kerana terpaksa menamatkan perniagaan yang telah dimulakannya semenjak bujang sehingga kini mempunyai cucu.

Peniaga Kedai Muzik, Ong ketika ditemubual wartawan Malaysia Gazette di Pusat Membeli Belah Ampang Park, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 26 DISEMBER 2017.

Namun Ong ‘mengikhlaskan’ pemergian Ampang Park demi pembangunan, kemudahan pengangkutan awam dalam negara yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kedai ni di buka masa belum kahwin lagi, masa tu tahun 1974 lagi sudah mulakan perniagaan ini

“Apa boleh buat. Saya tidak berniat untuk teruskan.

“Perniagaan ini di tempat lain pun. Jadi saya membuat keputusan untuk bersara daripada perniagaan ini,” katanya yang sudah mula membuat jualan penghabisan stok sejak bulan lalu.

Mengakui banyak memori manis tercipta setelah lebih kurang 30 tahun berniaga mozek dan kertas dinding, David Tan mengaku pilu mengenangkan ‘hubungannya’ bakal berakhir dengan bangunan yang baginya penuh bersejarah itu.

Pemilik kedai bidai dan tirai , David Tan ketika ditemubual wartawan Malaysia Gazette di Pusat Membeli Belah Ampang Park, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 26 DISEMBER 207

“Saya sudah berniaga di sini lebih kurang 30 tahun, saya duduk sini menunggu untuk pindah keluar mengenangkan ‘hubungan’ saya dengan kedai ini, bangunan ini untuk 30 tahun.

“Saya masih mencari lokasi yang sesuai untuk teruskan perniagaan ini. Mungkin saya akan buat (berniaga) juga tapi untuk ‘freelance’,” kata lelaki yang berusia 60 tahun yang masih belum boleh menerima hakikat kerana merasa dekat dengan bangunan itu.

Namun penamatan operasi pusat membeli belah itu bukanlah satu pengakhiran baginya kerana David akan tetap meneruskan perniagaannya di lokasi lain.

“Saya tidak boleh nak berhenti terus berniaga walaupun sudah 60 nanti saya bosan,” ujarnya.

Pekerja salah sebuah kedai menjahit baju, Yusnita, 31, turut berkongsi perasaan sedihnya kerana perlu perpindah ke kawasan lain.

Namun beliau yang telah bekerja lebih tiga tahun yakin pelanggan tetap kedai itu akan terus mencari mereka di Jalan Semarak selepas ini.

Pekerja kedai jahit, Yusnita ketika ditemubual wartawan Malaysia Gazette di Pusat Membeli Belah Ampang Park, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 26 DISEMBER 207

Hakikat perubahan masa baginya perlu dalam memudahkan pembangunan dilakukan.

“Mestilah sedih, walaupun saya di sini hanya tiga tahun tapi sebab kawasan ini sebenarnya meriah dengan pengunjung-pengunjung,” kata Yusnita yang memaklumkan kedai itu sudah mula beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu. – MalaysiaGazette