KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang bertugas sebagai pencuci cedera parah apabila lehernya dikelar dua suspek yang dipercayai menyamunnya di Petaling Jaya malam tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar 4 petang tadi di Blok 10, Rumah Pangsa Desa Menteri, Jalan PJS 2B/1 di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohd. Zani Che Din berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang jururawat di Pusat Perubatan Subang Jaya mengenai kes melibatkan seorang pesakit lelaki India tersebut.
“Siasatan polis mendapati mangsa diserang dan dicederakan oleh dua penyamun disyaki kenalannya.
“Menurut mangsa sendiri bernama Ramuetuman,dia sedang menunggu lif di Blok 10 Desa Mentari sebelum didekati dua suspek kenalan bernama Ravi dan Tamil dari arah belakang.
“Kedua-dua suspek telah menyerang mangsa di belakang sebelum mangsa terjatuh dan tidak mampu mempertahankan diri.
“Salah seorang suspek memegang tangan dan memeluk mangsa dari belakang dan terus kelar leher dan bahu mangsa,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Tambah Mohd. Zani, suspek juga telah merampas rantai emas yang dipakai mangsa.
“Mangsa cuba melawan kedua-dua suspek tetapi gagal sebelumĀ penyamun berjaya melarikan diri.
“Mangsa yang tercedera kemudian telah mendapatkan bantuan kawannya untuk hospital bagi mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Jelas beliau, mangsa kerugian seutas rantai bernilai RM10,000 dan polis sedang mempergiatkan usaha memburu dan menangkap kedua-dua suspek tersebut. – MalaysiaGazette.