Home Nasional Peniaga mengaku tak bersalah rogol anak sampai hamil

Peniaga mengaku tak bersalah rogol anak sampai hamil

Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pagi ini atas kesalahan merogol anak kandungannya berusia 15 tahun sehingga hamil di Pulau Pinang hari ini.

PULAU PINANG – Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pagi ini atas kesalahan merogol anak kandungannya berusia 15 tahun sehingga hamil.

Bagaimanapun, tertuduh berusia 50 tahun berkenaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sumbang mahram terhadap anak kandungnya di kediaman mereka di Air Itam di sini, antara pukul 9.45 malam hingga 12.30 malam pada 20 hingga 21 Disember lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun atau maksimum 10 sebatan.

Mahkamah turut tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta laporan perubatan mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 23 Disember lalu, polis mendapat perintah tahanan reman ke atas suspek selama enam hari bagi membantu siasatan kes subang mahram yang dipercayai dilakukan terhadap anak keduanya itu.

Kejadian itu dilaporkan sendiri ibu mangsa selepas mendapati perubahan pelik pada perlakuan anak kedua daripada tiga beradik berkenaan yang kemudiannya mengaku melakukan hubungan seks dengan bapanya.- MalaysiaGazette