TOKYO – Sepasang suami isteri ditahan polis selepas didakwa mengurung anak mereka lebih 15 tahun sebelum anak perempuan mereka yang berusia 33 tahun itu mati kesejukan, lapor media tempatan.
Yasutaka Kakimoto, 55, dan isteri, Yukari, 53, yang merupakan penduduk Osaka mengaku mengurung anak perempuan mereka, Airi dalam sebuah bilik kecil ketika dia berumur kira-kira 16 tahun atau 17 tahun, lapor Kyodo News.
Bedah siasat menunjukkan Airi mati dalam keadaan beku selain mengalami kekurangan zat yang melampau dengan berat badannya kira-kira 19 kilogram, lapor AFP.
Ibu bapa wanita tersebut memberitahu polis bahawa mereka mengurung Airi kerana dia menghidap sakit jiwa dan bertindak ganas, kata rangkaian nasional, NHK sambil menambah bilik yang digunakan untuk mengurung wanita itu dilengkapi dengan interkom yang membolehkan keluarga itu berkomunikasi.
Mereka dilaporkan memberi Airi makan sekali sehari.
Pasangan tersebut memasang 10 kamera pengawasan di sekeliling rumah dalam usaha menyembunyikan rahsia mereka, menurut akhbar, Yomiuri Shimbun.
Selepas melaporkan kematian anak meeka kepada polis, pasangan itu didakwa kerana menghapuskan mayat secara haram tetapi polis juga sedang menimbang untuk melakukan dakwaan lain termasuk mengurung, kata Kyodo.
Polis Osaka tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan pada petang ini. – Agensi