KUALA LUMPUR – Krisis perebutan kerusi Parlimen Cameron Highlands antara MyPPP dan MIC sejak kebelakangan ini bakal dibincangkan secara tertutup dalam mesyuarat khas antara pemimpin parti itu dalam masa terdekat.
Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kavyeas berkata, isu tersebut tidak akan dibincangkan secara terbuka dalam Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 3 Januari depan.
“Saya percaya isu (pertindihan kerusi Cameron Highlands) tidak akan dibincangkan secara terbuka di peringkat tertinggi BN kerana ia tidak melibatkan parti komponen yang lain.
“Kalau dibincangkan pun, hanya akan dilakukan secara tertutup antara MyPPP, MIC dan BN. Jadi, tidak akan ada perbincangan lanjut mengenai isu ini pada mesyuarat yang akan berlangsung Rabu depan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Jelasnya, sebelum ini beliau juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam untuk berbincang tentang kerusi yang kini menjadi rebutan.
Dalam pertemuan tersebut, masing-masing telah sepakat untuk menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk membuat keputusan siapa yang layak bertanding di kawasan selamat BN itu.
Jelas Kavyeas, pihaknya akan terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN selain terus memperjuangkan kepentingan rakyat terutamnaya masyarakat Cameron Highlands yang banyak meletakan harapan kepada BN.
“Tidak guna dalam kalangan kita sendiri bergaduh kerana ada pihak di luar sana akan mempergunakannya bagi agenda peribadi. Bagi kami di MyPPP, kami mahu kemenangan dua pertiga untuk BN secara keseluruhan.
“Kemenangan BN adalah kemenangan untuk rakyat kerana agenda utama kita adalah rakyat dan kepentingan mereka. Kita bukan retorik seperti pembangkang, hanya janji manis demi undi pilihan raya.
“Bagi kerusi Cameron Highlands, tidak ada soal kerusi tradisi atau sebaliknya. Yang penting calon ‘winnable’ yang bukan sahaja akan menang malah calon yang boleh memenangi hati rakyat.
“Itu yang paling penting dan kita serahkan kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan terbaik. Kami akan akur,” ujarnya.
Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi BN yang dijangka diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 3 Januari depan dipercayai akan membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Kavyeas menambah, beliau menyokong kaedah baharu BN menggunakan `calon langsung’ sebagai calon pilihan yang layak bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
“Setakat ini, sejak tiga tahun lepas, MyPPP telah bertemu dengan hampir 28,000 pengundi selain daripada mengenalpasti hampir 5,000 pengundi baharu.
“Rata-rata mereka adalah penyokong tegar BN dan MyPPP, saya yakin dan amat pasti dengan kemenangan ini terutamanya jika diberikan kepada kami,” katanya.
Perebutan ‘kerusi selamat’ BN itu terus berlaku antara Kavyeas dan Penyelaras Cameron Highlands merangkap Ketua Pemuda MIC, Datuk C. Sivarraajh.
Penyandangnya, Datuk Seri G. Palanivel merupakan bekas Presiden MIC sebelum di isyitihar menjadi Ahli Parlimen Bebas selepas hilang keanggotaanya dalam parti semasa krisis MIC pada 2015.
Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri SK Devamny yang juga Timbalan Presiden MIC pernah menang dua kali berturut-turut di Cameron Highland iaitu pada PRU 11 dan 12. – MalaysiaGazette
Tan Seri kavyeas adalah calun yang Terbaik Utk kawasan Cameron highland.