Home Ekonomi Sistem baharu e-Perolehan lebih telus dan cekap

Sistem baharu e-Perolehan lebih telus dan cekap

Johari Abdul Ghani

PUTRAJAYA- Sistem e-Perolehan yang baharu bakal memudahkan sistem pemantauan semua aspek pembelian oleh Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sistem baharu itu juga mampu mengurangkan kuasa pegawai yang bertanggung jawab terhadap sistem perolehan bekalan dan perkhidmatan kerajaan yang secara purata berjumlah RM18 bilion setahun.

“Sistem ini akan meningkatkan kecekapan sistem pemprosesan, ketelusan, adil dan saksama.

“Dengan adanya sistem baharu ini, kita boleh mengumpul data daripada semua pembekal dan menerusi data-data tersebut mudah untuk kita membuat polisi dan dasar bagi memastikan kecekapan e-Perolehan.

“Apabila kita dapat melakukannya secara telus ia pastinya menjimatkan masa kakitangan dan seterusnya membolehkan proses menyiapkan tender menjadi lebih cepat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sistem baharu e-Perolehan di kementeriannya hari ini.

Menurut Johari, selepas ini kerajaan akan mewajibkan semua perolehan bekalan dan perkhidmatan kerajaan dibuat sepenuh secara online.

Sistem baharu e-Perolehan ini juga akan diperluaskan ke Kementerian Kerja Raya yang bertanggung jawab terdapat projek pembangunan kerajaan.

Sistem e-Perolehan mula diperkenalkan pada tahun 2000 dan selepas 17 tahun, kerajaan berpendapat, ianya perlu diperkasa sejajar dengan peredaran teknologi dan kepakaran semasa.

Ia dijangka memberi manfaat kepada 120,000 pengguna kerajaan dan pembekal.-MalaysiaGazette