Home Sukan Sah doping, S. Kumar mungkin bersara

Sah doping, S. Kumar mungkin bersara

S. Kumar

KUALA LUMPUR – Penjaga gol hoki kebangsaan, S. Kumar sedang menimbang keputusan bersara jika keputusan doping ke atasnya kekal positif.

Memetik twitter KamiTeamMalaysia, keputusan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dijangka diumum pada Januari depan.

Jika didapati sah, penjaga gol yang terkenal dengan jolokan Buffon Malaysia itu akan digantung selama dua tahun.

Ia merupakan satu tamparan buat penjaga hoki yang sudah berusia 38 tahun itu kerana tempoh yang lama.

Sebelum ini, Konderasi Hoki Malaysia (KHM) dikejutkan dengan berita Kumar didapati positif ujian doping sewaktu Kejohanan Hoki Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu.

Perkara mengejutkan itu diumumkan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal pada satu sidang media khas yang turut dihadiri Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz.

Menurut Subahan, Kumar dikesan positif ujian doping ketika aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Asia ketika bertemu Oman pada 16 Oktober lalu.

Kumar dikesan menggunakan bahan terlarang Sibutramine dalam ujian sampel air kencing yang dilakukan Agensi Anti-Doping Dunia.

Oleh itu, Kumar akan digantung sementara daripada terbabit dengan sebarang aktiviti hoki selama dua tahun. – MalaysiaGazette