KUALA LUMPUR – “Kereta kami tak bergerak pun, bodoh!” Itu jawapan pelakon, Datin Diana Danielle di laman sosial Instagram miliknya.
Diana memberi respon ‘pedas’ itu selepas tindakannya bergambar dalam kenderaan dinaiki didakwa oleh netizen boleh membahayakan keselamatan dirinya sekeluarga.
Namun komen netizen itu bersikap melulu dan gemar membuat andaian awal.
Selain Diana, turut bersama-samanya di dalam kenderaan itu adalah suami, Datuk Farid Kamil dan dua lagi anak mereka Ahmad dan Aurora.
Menerusi dua gambar yang dikongsikan aktres berkenaan, Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia ke-26 itu dilihat sedang memangku Aurora ketika duduk di bahagian penumpang hadapan manakala Ahmad berada di bahagian belakang.
Bersama-sama gambar itu, Diana, 26, menyatakan mereka sekeluarga baru saja selesai mandi di sungai yang terletak di Perak.
“Lepas habis mandi sungai dengan cinonets dan baby besar FK (Farid Kamil). Seronok anak-anak alami pengalaman air sungai sejuk beku,” katanya.
Disebabkan gambar di Instagram itu, Diana dikecam netizen kerana didakwa berswafoto ketika kenderaan mereka bergerak. – MalaysiaGazette