Home Nasional Najib ucap taniah kepada Qobin

Najib ucap taniah kepada Qobin

Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada penjelajah negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin yang menempa nama sebagai Penjelajah Grand Slam pertama Malaysia.

“Tahniah kepada penjelajah negara Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atas kejayaan penjelajahan ke titik 90 darjah Kutub Selatan sejauh 111 kilometer dan bakal diiktiraf sebagai Penjelajah Grand Slam,” kata perdana menteri dalam catatan di laman Twitter.

Qobin, 36, yang dalam rangka Ekspedisi Penjelajah Grand Slam Malaysia 2017 melalui Kelab Explorasi 7 Benua (KE7B), berjaya menamatkan misi penjelajahan ke Kutub Selatan itu pada 4.05 petang Rabu (11.05 pagi Khamis waktu Malaysia) dalam kumpulan yang turut disertai enam penjelajah pelbagai negara serta seorang jurupandu.

Beliau turut mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Asia Tenggara kedua dan umat Islam ketiga serta termuda di dunia selain 70 individu dan penjelajah terawal yang menghabiskan penjelajahan itu.

Pengiktirafan sebagai Penjelajah Grand Slam diberikan apabila seseorang itu menamatkan siri pendakian tujuh puncak tertinggi di tujuh benua di dunia, selain penjelajahan ke Kutub Utara dan Kutub Selatan. – MalaysiaGazette