Home Nasional KD Kedah tiba di Zamboanga City hantar bantuan kemanusiaan

KD Kedah tiba di Zamboanga City hantar bantuan kemanusiaan

SANDAKAN  – Kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Kedah yang membawa bantuan kemanusiaan berupa barang keperluan untuk mangsa Taufan Tembin selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Romulo Espaldo, Zamboanga City, Filipina pada pagi Jumaat.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, TLDM berkata misi itu yang tiba pada 11.40 pagi diketuai oleh Penglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob yang turut melakukan kunjungan hormat ke atas Komander Tentera Laut Mindanao Barat Laksamana Muda Rene V Medina dan Komander Pusat Perintah Mindanao Barat Lt. Jen Carlito Galves Jr.

Dalam pertemuan itu kedua-dua pihak membincangkan pelbagai perkara mencakupi aspek keadaan terkini mangsa bencana Taufan Tembin serta perihal keselamatan di perairan Selatan Filipina.

Penyerahan bantuan disampaikan oleh Abdul Rahman di geladak penerbangan KD KEDAH kepada Ketua Pejabat Pertahanan Awam Manuel Ochotorena dan Penolong Ketua Pengarah Serantau Jabatan Pembangunan dan Kebajikan Sosial Riduan Hadjimuddin.

KD Kedah yang membawa 30 tan makanan asas serta keperluan lain memulakan pelayaran ke Zamboanga City dari Pangkalan Markas Laut 2 di sini pada 6 petang Khamis.

Misi bantuan kemanusiaan itu adalah inisiatif Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memberikan tanggungjawab kepada Angkatan Tentera Malaysia untuk menyelaraskan penghantaran bantuan ke kawasan bencana tersebut.- BERNAMA