Home Dunia 12 maut dalam kebakaran di New York

12 maut dalam kebakaran di New York

NEW YORK – Sekurang-kurangnya 12 orang maut, termasuk seorang bayi, dalam satu insiden kebakaran yang berlaku pada petang Khamis di utara Bandaraya New York, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.

Datuk Bandar New York Bill de Blasio berkata empat orang cedera parah dalam insiden itu.

“Ini adalah tragedi kebakaran paling teruk yang pernah kita saksikan di bandaraya ini — ia akan menjadi antara insiden kehilangan nyawa yang terburuk akibat kebakaran,” kata de Blasio di lokasi kejadian.

Panggilan kecemasan pertama diterima pukul 6.51 petang (2351 GMT) untuk satu insiden kebakaran di sebuah bangunan lima tingkat di 2363 Prospect Avenue, Bronx, menurut jabatan bomba.

“Kebakaran bermula di tingkat pertama dan dengan pantas merebak ke atas. Mangsa meninggal dunia di pelbagai tingkat. Mereka berusia dalam lingkungan satu hingga lebih 50 tahun,” kata Pesuruhjaya Jabatan Bomba Bandaraya New York, Daniel Nigro.

Lebih 160 anggota bomba telah dikerah ke tempat kejadian, kata jabatan itu.- BERNAMA