Home Nasional Pusat pelancongan Bukit Bendera dibuka semula hari ini

Pusat pelancongan Bukit Bendera dibuka semula hari ini

PULAU PINANG – Pusat pelancongan popular negeri ini, Bukit Bendera kembali dibuka kepada orang ramai bermula hari ini selepas ditutup hampir dua bulan ekoran bencana banjir besar 5 November lalu.

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), Cheok Lay Leng berkata, perkhidmatan kereta api kabel atau funikular Bukit Bendera kini beroperasi semula selepas kerja-kerja pembersihan akibat tanah runtuh ketika bencana berkenaan selesai sepenuhnya.

Menurut beliau, perkhidmatan funicular itu terpaksa dihentikan selepas kawasan berkenaan diklasifikasikan sebagai ‘zon merah’ akibat kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang dalam bencana tersebut.

“Kita bertungkus-lumus membersihkan sisa runtuhan tanah dan pokok tumbang supaya kawasan pelancongan ini dapat dibuka segera dan PBBPP turut mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan dan sukarelawan lain dalam usaha itu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas perasmian pengoperasian semula perkhidmatan itu yang disempurnakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng di sini hari ini.

Menurut Lay Leng, meskipun puncak Bukit Bendera kini dibuka semula, namun kerja-kerja pemulihan kawasan itu daripada bencana tanah runtuh dan pokok tumbang masih berjalan bagi memastikan kawasan pelancongan berkenaan selamat sepenuhnya.

Dalam bencana banjir besar di negeri ini pada 5 November lalu, sebanyak sebanyak 194 kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Bukit Bendera dan kawasan sekitarnya.

Bencana itu menyebabkan akses ke puncak bukit tersebut sama ada menerusi kereta api kabel atau jalan darat terputus sepenuhnya.

Malah, lebih 30 pelancong dan pengusaha pelancongan turut terperangkap selama beberapa hari di puncak bukit berkenaan ketika bencana tersebut dan terpaksa dibawa turun anggota penyelamat menggunakan helikopter.- MalaysiaGazette