Home Utama 2018 tahun memilih- PM

2018 tahun memilih- PM

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia mempunyai pilihan sama ada mahu kerajaan yang akan terus bekerja demi kebaikan rakyat dengan halatuju dan polisi yang jelas untuk membawa kejayaan kepada Malaysia atau parti yang hanya berkempen secara negatif dan cuma bergantung kepada menyemarakkan kebencian dalam kalangan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perutusan Tahun Baharu 2018 berkata, memilih kerajaan adalah sesuatu yang serius.

Bagaimanapun, beliau yakin dengan kebijaksanaan rakyat yang mampu menilai janji-janji palsu pihak tertentu dan mengetahui siapa yang bekerja untuk kepentingan sebenar rakyat.

“Ini adalah pilihan yang dihadapi rakyat Malaysia pada tahun 2018, sebuah kerajaan yang akan berterusan bekerja demi kebaikan rakyat, dengan halatuju dan polisi jelas untuk membawa Malaysia ke hadapan bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang atau parti yang hanya berkempen secara negatif, dengan harapan untuk menyebabkan kemarahan dan ketidakpuasan hati masyarakat untuk memenangi undi.

“Ini kerana mereka tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia kecuali angan-angan populis yang hanya akan merosakkan negara,” katanya.

Tambah Najib, setiap pemimpin boleh mempunyai perbezaan pendapat namun masih perlu bersikap sopan dan baik.

Sebagai masyarakat bertamadun perkara ini harus diterima dan difahami katanya sambil merujuk tindakan beliau menziarahi pemimpin pembangkang yang sakit di hospital.

Najib juga memuji sikap baik yang ditunjukkan oleh PAS di bawah kepimpinan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang terbuka meskipun berbeza fahaman politik.

“Cara yang lebih baik telah ditunjukkan oleh PAS di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang. Meskipun kami berada di pihak yang berlainan, tetapi kami menolak ke tepi segala perbezaan apabila ia berkaitan kepentingan bersama, seperti dalam isu Rohingya dan Palestin.

“Inilah politik lebih matang yang membina negara kita, bukan cuba merobohkannya.

“Ia membantu menyatukan kita, bukan memecahkan kita dan ia menumpukan kepada apa yang kita ada bersama dan bukannya menjadikan kepelbagaian kita sebaga suatu kelemahan.

“Bagi kerajaan, kepelbagaian kita adalah kekuatan kita, dan kita tidak akan berhenti mempertahankannya,” ujarnya.

Najib yang juga Menteri Kewangan optimistik dengan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini dan seterusnya terutama di dalam pelaksanaan program Transformasi Nasional 2050.

Tambahnya, laporan Bank Dunia yang mengatakan “ekonomi Malaysia berkembang dari kedudukan” serta jangkaan pertumbuhan sihat tahun hadapan dan lebih pengurangan defisit adalah sesuatu yang positif di dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Kerajaan juga katanya akan terus mengambil semua langkah perlu untuk membangunkan negara dan memastikan keselamatan, kebajikan dan kebahagian rakyat Malaysia.

“Kita berharap semua akan memberikan sokongan teguh dalam usaha melaksanakan tugasan hebat ini. Ianya satu tugasan yang dimulakan oleh nenek moyang kita, yang diteruskan oleh Allahyarham Ayahanda saya, dan tugasan yang saya, secara peribadi berasa bertanggungjawab untuk laksanakan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette