KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia memulakan dagangan di tahun baharu agak perlahan, menyusut daripada momentum menaik 2017, disebabkan pengambilan untung dalam saham utama terpilih, kata peniaga.
Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,782.11, turun 14.7 mata, daripada 1,796.81 penutup Jumaat.
Indeks utama itu dibuka 13.71 mata lebih rendah pada 1,783.1.
Maybank IB Research menjangka FBM KLCI didagangkan pada paras antara 1,780 dan 1,800 mata hari ini dengan sokongan dilihat pada 1,770 dan 1,752.
Firma penyelidikan itu berkata, terdapat kemungkinan tinggi indeks penanda aras itu akan penyusutan pada peringkat awal 2018 disebabkan pengambilan untung.
“Tambahan lagi, dengan ringgit dan harga minyak terus kekal kukuh, pasaran saham dijangka dapat menyerap tekanan jualan,” katanya dalam satu nota pagi ini.
FBM KLCI mengakhiri 2017 pada paras tertinggi tahunan 1,796.81 pada 29 Disember, naik 155.08 mata, atau 9.45 peratus, daripada 1,641.73 pada akhir 2016. – MalaysiaGazette